Tuesday, October 19, 2010

9


Pukul 9.22 a.m.
“Balkish! Balkish! Tunggu dulu! Saya nak cakap dengan awak!”
Teriakan Adam Fariz langsung tidak dihiraukan oleh Balkish walaupun lelaki itu sudah mengikuti ‘tawaf’nya mengelilingi sekolah sebanyak tiga pusingan.
“Isya, berhenti lah kejap! Kesian aku tengok si Fariz tu.”
Arini Mysara yang turut mengikuti Balkish dari tadi cuba memujuk gadis itu untuk berhenti.
Lama juga adegan ‘berlari berkejaran’ itu berlangsung. Lebih separuh masa rehat.
Hadui... Balkish ni. Tak ingat nak makan ke? Dah lah perut aku ‘bergendang’ dari pagi tadi. Sekarang bawa aku lari-lari pulak! Cuba lah dia bawa berbincang dengan si Fariz tu...
Arini Mysara merungut dalam hati.
Tiba-tiba langkah kedua-dua gadis itu terhenti apabila Adam Fariz sudah berdiri tegak di hadapan Balkish!
“Fariz, tepi lah! Tak nampak ke aku nak lalu?” Balkish cuba melepasi tubuh Adam Fariz yang tinggi lampai namun percubaannya gagal.
“Saya perlu bercakap dengan awak. Pasal hal kita hari tu. Pasal perkara yang berlaku antara kita,” kata Adam Fariz.
Mysara membeliakkan biji matanya apabila mendengar ayat ‘pasal hal kita’ dan ‘perkara yang berlaku antara kita’ yang keluar dari mulut Adam Fariz. Sepantas kilat dia memandang Balkish.
Balkish yang mengerti bahawa sahabatnya itu sudah tersalah faham cepat-cepat menyangkal pemikiran gadis kecil molek itu.
“Sara, kau jangan salah faham pulak. Kau tak tahu apa yang dah jadi.”
“Masya-Allah! Apa yang kau orang berdua dah buat ni hah? Apa perkara yang berlaku antara kau orang?” Mysara berpura-pura mempamerkan muka yang sangat terkejut. Sebenarnya hanya bertujuan untuk menyakat orang berdua itu. Terutamanya Balkish.
“Kau orang dah...”
“Mysara!” serentak Adam Fariz dan Balkish memotong percakapan Mysara.
“Dah lah! Fariz, baik kau pergi! Menyampah aku nak tengok muka kau tau! Satu hal lagi yang perlu kau tahu, TIADA MAAF BAGIMU!”
Balkish terus menolak tubuh lelaki itu sekuat hati.
Akhirnya, Adam Fariz terpaksa akur dengan kehendak Balkish dan membiarkan Balkish dan Mysara meninggalkan dirinya. Boleh saja dia menahan tangan Balkish yang menolaknya namun dia takut kebencian gadis itu padanya semakin bertambah lagi.
Aduh! Pening kepala aku! Nak dekat dengan Balkish pun punya lah susah, apalagi nak cakap dengan dia. Macam mana aku nak jelaskan kedudukan yang sebenar kalau dia terus buat aku macam ni...
Adam Fariz sudah tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk menamatkan kebencian gadis itu padanya. Dia cuma boleh berharap agar takdir yang ditentukan TUHAN untuknya dapat membantu untuk melembutkan hati Balkish. Sebagaimana takdir yang ditentukan itu telah membuatkannya dipertemukan lebih dekat dengan Balkish.
“BAIKLAH semua! Cikgu ada berita baik untuk kamu.”
Kedengaran suara Cikgu Maznah selaku guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu mengisi segenap ruang kelas 5 UKM pada waktu itu.
“Berita apa, cikgu?” kedengaran suara seorang pelajar mencelah.
“Cikgu rasa kamu sudah sedia maklum bahawa sekolah kita akan mengelolakan Pertandingan Teater Komsas Peringkat Daerah April nanti. Justeru, satu ujibakat akan diadakan untuk memilih pelakon-pelakon teater yang akan mewakili sekolah kita untuk bertanding dengan sekolah-sekolah lain di daerah ini. Jadi, cikgu harap kamu boleh mengikuti ujibakat yang akan dijalankan. Inilah masa untuk tonjolkan bakat kamu. Faham semua?”
“Faham, cikgu!” begitu bersemangat pelajar-pelajar kelas 5 UKM memberikan jawapan.
Walaupun pada waktu itu Cikgu Maznah sedang berbicara dengan panjang lebar mengalahkan ucapan bajet 2010 Perdana Menteri, Adam Fariz tidak langsung menunjukkan sebarang minat terhadap ucapan gurunya itu.
Apa yang menjadi perhatian utamanya sekarang ialah Balkish.
“Fariz, kau ni aku tengok, sejak menyakat Balkish kau asyik pandang muka dia aja. Kau dah syok ke kat dia tu?” Radhi yang merupakan kawan baik Adam Fariz menegur lelaki itu dengan nada suara yang sangat perlahan sebaik sahaja perasan yang Adam Fariz memerhatikan Balkish.
Adam Fariz tersenyum dan setelah itu membalas, “Nanti lah aku cerita kat kau.”
Radhi masih lagi melihat wajah kawannya itu yang masih tidak putus senyumannya.
Entah-entah kawan aku ni memang sah dah syok dengan Balkish! Hari-hari senyum sendiri. Angau lah tu!
“Saya sendiri akan menjadi jurulatih bagi wakil sekolah kita untuk pertandingan itu nanti dan drama yang telah saya pilih untuk dipentaskan ialah ‘Puteri Li Po’. Jadi, sesiapa yang berminat untuk menyertai ujibakat tersebut boleh berjumpa dengan saya di bilik guru nanti.”
Sebaik sahaja Cikgu Maznah menghabiskan ayatnya, loceng terus berbunyi. Menandakan waktu pulang bagi pelajar-pelajar sidang pagi.
“Bangun semua!” kedengaran suara ketua kelas memberikan arahan.
“Terima kasih, cikgu.”
Dengan serentak semua pelajar mengucapkan terima kasih dan beransur-ansur keluar dari kelas tersebut setelah membacakan Surah Al-Asr.
“Sara, kita ikut ujibakat, nak tak?” Balkish mengajak Mysara untuk mengikuti ujibakat yang dimaklumkan oleh Cikgu Maznah sebentar tadi.
“Muka kita ni, kau rasa boleh berlakon ke?” Mysara cuba mengusik Balkish.
“Hei, tengok muka lah che kak! Jomlah pergi. Mesti best nanti! Kita ikut ek?” Balkish cuba memujuk sahabatnya.
“Hmm... kalau macam tu, okay lah! Nak jumpa Cikgu Maznah sekarang ke ni?” Mysara sudah memberikan persetujuan.
“Jom kita tengok kat bilik guru.”
Gadis berdua itu mengatur langkah ke bilik guru.
Tanpa mereka sedari, ada dua pasang kaki lain yang turut mengekori mereka.
“Adam, kita pergi ikut Mysara dengan Balkish ni buat apa?” Radhi menyoal Adam Fariz.
“Kau ikut je lah dulu. Nanti kau tahulah.”
Kedua-dua lelaki itu masih mengekori Mysara dan Balkish.
“Eh, dia orang pergi jumpa Cikgu Maznah lah, weh. Kau rasa dia orang nak ikut ke ujibakat teater komsas tu?”
“Aku rasa macam tu lah.”
Adam Fariz membalas agakan rakannya itu.
Tiba-tiba satu idea muncul di benak Adam Fariz!
Kalau aku terus kejar dia ke sana ke mari, memang susah nak bercakap dengan Balkish. Tapi... kalau aku ikut teater ni, mesti dapat habiskan banyak masa dengan dia. Yes! Aku mesti ikut ujibakat ni dan mesti terpilih walau apa pun yang terjadi!
Adam Fariz menanamkan tekad bulat dalam hatinya. Mengajak Radhi berlalu setelah itu kerana takut Balkish dan Mysara akan melihat mereka berdua pula.

Saturday, October 9, 2010

8


Saat itu, dia hanya mampu menundukkan wajah yang tidak tahu hendak diletakkannya di mana nanti bila berita buruk mengenai dirinya tersebar. Berita yang hanya disebabkan oleh salah faham semata-mata!
“Balkish, jawab soalan cikgu. Fariz cuba nak apa tadi?” Cikgu Saidah memusatkan semula perhatiannya kepada Balkish.
“Tadi masa cikgu pergi pondok sebelah, Fariz... err...dia... dia...” Balkish masih tergagap-gagap.
Ha, teruskan. Kenapa tergagap-gagap ni?”
Err... tak ada cikgu. Sebenarnya, masa cikgu kat pondok sebelah tadi, Fariz ni cuba nak berdiri. Saya kata dengan dia, dia tak boleh berdiri dulu sebab kaki dia kan kejang, tangan dia pun cedera.”
Balkish tampil dengan bohong sunatnya.
Adam Fariz tiba-tiba mengangkat kepalanya. Matanya terkebil-kebil. Tidak percaya yang Balkish menyembunyikan hal sebenar daripada pengetahuan Cikgu Saidah.
“Habis tu, kalau Fariz ni nak berdiri, kenapa kamu terjerit-jerit tadi? Macam ada orang nak meraba kamu pulak!” Cikgu Saidah mengerutkan keningnya. Pelik dengan kelakuan Balkish.
Heh, Cikgu macam tahu-tahu aje. Dia nampak ke apa yang jadi tadi? Ish, takkanlah...
Hati Balkish berbisik sendirian.
“Oh, yang itu... saya menjerit sebab nak minta tolong dengan Cikgu. Fariz ni, berkeras jugak nak bangun sangat. Saya mana larat nak bangunkan dia sorang-sorang. Jadi saya pun teriak lah panggil Cikgu sebab saya takut kalau saya tak pekik kuat-kuat nanti Cikgu tak dengar. Kan padang ni bising, Cikgu.”
Adam Fariz yang masih duduk hanya ternganga mendengar pengakuan palsu Balkish.
Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba-Mu ini. Sudah banyak kali aku bohong sunat hari ni. Aku tak berniat untuk menipu, tapi, aku terpaksa, aku terpaksa! Ni semua budak bertuah tu punya pasal lah! Celaka kau, Fariz!
“Betul ni, Balkish?” Cikgu Saidah bertanya lagi. Seakan-akan curiga dengan muridnya itu.
“Betul Cikgu. Tak percaya, cuba Cikgu tanya Fariz ni hah. Kesian dia, tak dapat terima hakikat dia tak dapat habiskan larian. Tu pasal dia nak bangun Cikgu.”
Balkish buat-buat muka sedih.
Cis! Kesian? Sampai bila-bila pun aku takkan pernah kesiankan makhluk tuhan paling gatal tu! Tapi sebab nak nampak real punya pasal depan Cikgu Saidah, hmm... layan je lah!
Cikgu Saidah yang berwajah serius memandang tepat ke arah Adam Fariz.
“Fariz, betul ke apa yang Balkish cakap tu?”
“Ya... betul lah tu Cikgu. Balkish cuba nak tolong saya aje tadi. Oh, ya! Tadi Cikgu dengar kan saya teriak yang ‘tidaaaak, tidaaaak aku bukan pe...’ terus terpotong kat situ. Sebenarnya saya nak cakap ‘aku bukan pelari yang berjaya’. Saya dah hampakan semua orang. Apa nak jadi dengan saya ni... kawan-kawan semua mesti kecewa dengan saya.”
Giliran Adam Fariz pula mempersembahkan lakonan teaternya di hadapan Cikgu Saidah. Dia pura-pura mengurut kepalanya seolah-olah dia mengalami migrain yang paling dahsyat.
Dia sempat mengerling ke arah Balkish yang menunjukkan muka menyampah pada waktu itu.
Cikgu Saidah mula menunjukkan rasa simpati.
Yes! Berjaya lakonan aku!
“Tak apa lah, Fariz. Agaknya, tahun ni bukan rezeki kamu untuk menang. Terimalah dengan redha.”
Tenang saja bicara Cikgu Saidah.
“Ya... saya faham Cikgu... saya faham...” masih saja Adam Fariz meneruskan lakonannya. Berbicara dengan nada yang melankolik.
Ceh! Meluat aku tengok! Minta simpati dengan Cikgu Saidah konon! Memang serupa dengan ikan sepat tercabut insang!
“Kalau begitu kamu rehatlah dulu, Fariz. Jangan paksa diri kamu tu bangun. Nanti makin teruk pulak keadaan kamu.”
Nasihat Cikgu Saidah.
Lagi teruk kan ke lagi bagus!
Sempat lagi Balkish menyumpah-seranah Adam Fariz dalam hatinya.
Cikgu Saidah bergerak semula ke pondok sebelah. Belum habis menguruskan murid-murid pengsan tadi. Balkish mengikuti jejak gurunya itu.
“Balkish!” panggil Adam.
Muka Balkish kembali bengis melihatnya. “Hah, kau nak apa lagi?”
“Terima kasih sebab tak bagi tahu Cikgu Saidah pasal tadi tu.”
“Tak payah nak terima kasih. Kalau aku laporkan, nanti heboh satu sekolah, nama aku pun ikut kena highlight sama. Sudahlah! Letih aku menghadap muka kau!” Balkish mula mengatur langkah, berlalu dari situ.
“Eh, Balkish kejap! Tunggu dulu!” Adam Fariz masih sempat menahan gadis itu.
“Hish, apa lagi ni?” Balkish menunjukkan muka bosan.
“Boleh minta nombor telefon tak? Alamat e-mel awak ada tak? He...he... senang sikit saya nak contact awak nanti.”
Hai, si sewel ni! Dah aku tolong dia tak bagi tahu Cikgu Saidah pasal hal tadi, ada hati lagi nak ngorat aku! Tahu lah aku ni cantik! Ahh! Lelaki gatal tu, biar je lah!
Soalan spontan daripada Adam Fariz itu membuatkan Balkish terus berlalu dari situ tanpa pamitan bersama muka yang bengis.
Adam Fariz masih lagi tersenyum walaupun Balkish sudah jauh meninggalkannya. Hatinya tiba-tiba dikunjungi musim bunga dari negara Jepun bila mengingatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan Balkish sebentar tadi.
Sejak hari itu, bermula lah hikayat Adam Fariz ‘menyakat’ Balkish di SMK Datuk Panglima Abdullah. Sejak hari itu juga lah, kebencian gadis itu terhadap Adam Fariz semakin bertambah secara rasminya!
DENTUMAN guruh di langit menyedarkan Adam Fariz daripada lamunannya tentang Balkish.
Aik! Bila pulak hujan turun nih? Aku termenungkan Balkish sampai tak sedar hujan kat luar tu dah turun bertan-tan! Apa nak jadi dengan aku?
Adam Fariz tersenyum sendirian. Menggaru kepalanya yang tidak gatal. Begitu jauh fikirannya terarah kepada gadis itu.
Ini sudah jadi kes berat!
Nyatanya, peristiwa di pondok kecemasan itu memang masih melekat di ingatannya.
Mungkin, kerana peristiwa itu jugalah Balkish membencinya sehingga kini, fikirnya.
Dah tiba masanya aku tamatkan kebencian Balkish pada aku. Ya! Aku mesti jumpa Balkish esok!
Eh, memang jumpa pun! Dia kan classmate aku...
Kalau difikir, salah aku jugak dia marah-marah macam tu. Dah lah aku buat dek pasal insiden pondok kecemasan tu, sekarang aku sakat dia pulak!
Tapi... aku tak faham...
Dulu... semua perempuan aku sakat jugak. Sakat lebih-lebih lagi! Tapi... bila depan Balkish pulak...
Aku memamglah sakat dia tapi tak sama macam aku sakat orang masa dulu. Dengan Balkish ni... aku rasa aku lebih sakat secara bersopan. Cukuplah sakat sikit-sikit asal tak kempunan nak tengok muka dia yang marah gila kat aku!
Hai... bahagianya bila dapat tengok muka cute Balkish kalau marah. Rasa macam Gurun Sahara pun tiba-tiba bertukar jadi Gunung Everest! Eh, contoh yang sesuai ke tu? Ahh! Tak kisah lah! Aku belum pernah rasa macam ni kat mana-mana perempuan pun. Termasuk yang aku sakat dulu. Cuma Balkish seorang saja yang... Aduhai...
Kenapa setiap kali bila aku nampak Balkish, jantung aku terus dup, dap, dup, dap! Ni... mata jahat aku ni...tak nak lepas dari terus tengok dia. Kaki aku pulak, macam nak jalan terus terpacak kat depan dia. Mulut aku, ringan sangat nak sebut ‘sayang’... he...he..
Terus dia teringatkan gelagat Balkish dan kemarahannya yang meletus bagaikan gunung berapi bila perkataan ‘sayang’ itu disuarakan.
Nanti dulu... aku dah...
Aku dah suka dengan Balkish ke?
Atau maha berat lagi, aku dah jatuh cinta pada Balkish?
Aku... jatuh... cinta?
Adam Fariz tersenyum lagi. Memang sah sudah mabuk kepayang!
Senyumannya terbantut mendengarkan ketukan pada pintu biliknya.
Pintu itu kemudiannya dibuka perlahan-lahan. Kelihatan Datin Arniza memasuki ruang biliknya sambil tersenyum.
“Eh, mama. Kenapa tak tidur lagi?” Adam Fariz menyapa mamanya.
“Mama masuk tengok Fariz sekejap. Kan dah lewat malam ni. Fariz tak mengantuk lagi?” soal ibunya.
“Hmm... dah mengantuk jugak ni, mama. Fariz nak off lap top dulu, lepas tu Fariz tidur,” terang Adam Fariz.
“Yalah kalau macam tu...”
Datin Arniza memerhatikan ada sesuatu yang berlainan pada Fariz. Anaknya itu tersenyum sendirian.
“Mama tengok Fariz ni gembira semacam aja. Ada apa-apa yang Fariz nak kongsi dengan mama ke?” naluri keibuannya menggamit perasaan ingin tahu terhadap reaksi anak terunanya itu.
“Erm, tak ada apa-apa lah, mama.”
Adam Fariz cuba berselindung. Namun, senyumannya tetap tak terbendung.
Datin Arniza turut tersenyum.
Is this about a special person?
Tanpa ragu-ragu, pertanyaan itu diajukan.
“Eh, tak ada lah! Ke situ pulak, mama.”
Alamak! Mama pun tahu jugak ke?
Datin Arniza menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih lagi tersenyum.
“Kalau ya pun termenungkan girlfriend kamu, tengoklah jam tu dah pukul berapa. Jam 11.30 dah pun.”
Semakin meleret senyuman Datin Arniza mengenangkan anaknya yang langsung tidak tahu menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuannya.
Mama ni...
“Dah lah, pergi tidur. Esok nak pergi sekolah, nanti lambat pulak.”
Okay, mama!”
Adam Fariz mencium tangan mamanya yang kemudian berlalu keluar.
Perlahan dia menutup komputer ribanya dan berlalu ke katil.
Selimutnya ditarik dan lampu dipadamkan.
Dalam kegelapan itu, dia berdoa agar dapat menemui Balkish dalam mimpinya.
Balkish Batrisya yang menyapanya dengan suara lembut.
Datang bersama wajah yang ayu seindah namanya, mengenakan baju kebaya anggun dengan lilitan selendang sutera di kepala bagaikan perempuan Melayu terakhir...
Bukannya Balkish yang garang mengalahkan Hitler! Membawa senapang gajah yang diacukan tepat ke hadapan mukanya! Adui...
Selamat malam Balkish sayang... mimpikanlah aku...
Matanya tertutup rapat. Tetapi hatinya tetap berbunga mengingatkan Balkish.
Baru sahaja dia hampir terlena, tiba-tiba kedengaran pintu biliknya dibuka semula.
Datin Arniza muncul semula di sebalik pintu itu.
Adam Fariz bangun dari tempat pembaringannya.
Ada apa, mama?”
Datin Arniza memandang wajah anaknya. Teragak-agak menjawab pertanyaan Adam Fariz.
“Fariz...” Datin Arniza tidak meneruskan kata-katanya.
Adam Fariz hanya melihat dengan penuh tanda tanya.
Ada hal yang mama nak cakap sikit dengan kamu.”
Pendek Datin Arniza berkata-kata. Mengatur langkahnya menuju katil dan duduk bersebelahan anak terunanya.
Penting sangat ke hal ni sampai mama nak bagitahu malam ni jugak? Tadi mama jugak yang beriya-iya suruh aku tidur. Hmm...
Datin Arniza menarik nafas panjang. Menatap wajah anaknya yang kelihatan keliru itu menyebabkan dia bersuara kemudiannya.
“Begini, sebenarnya...”
Adam Fariz mendengar dengan tekun.