“Hmm… jadi inilah muka-muka yang berjaya dalam ujibakat hari itu ya?” Cikgu Maznah memandang muka semua pelajar yang ada di hadapannya, satu persatu.
Ayatnya sebentar tadi menampakkan seolah-olah dia tidak tahu gerangan para peserta yang berjaya melepasi sesi ujibakat. Padahal, dia sendiri yang memilih siapa yang ‘lepas’, dan siapa pula yang ‘sangkut’!
Dilihatnya Balkish Batrisya juga ada di situ. Nampaknya, akur juga gadis itu dengan nasihatnya untuk tidak membatalkan penyertaan dalam teater tersebut. Cikgu Maznah tersenyum puas menerima kehadiran Balkish Batrisya di situ.
Bagus!
Desis hatinya.
Balkish Batrisya berasa seram pula apabila Cikgu Maznah melihatnya sebegitu. Eeeee… meremang bulu roma! Semakin meremang lagi apabila dia perasan bahawa Adam Fariz masih lagi memerhatikan gerak-gerinya sejak mereka memasuki dewan tersebut. Macam penghendap bersiri lah pulak!
Ada jugak mulut yang aku sumbat dengan kasut ni!!!
“Sebelum sebarang latihan dimulakan, saya mahu kamu semua tahu bahawa penyertaan sekolah kita dalam pertandingan teater kali ini bukan sekadar untuk mencatat rekod penglibatan sekolah dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Saya harap kamu semua mampu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam setiap latihan yang dijalankan agar kita dapat menaikkan nama sekolah dalam pertandingan ini. Faham semua?”
Berjela-jela hendaknya penerangan Cikgu Maznah berkenaan harapan yang disandarkan kepada pelajar di hadapannya itu. Timbul tanda tanya di hati Balkish,
Apa pasal lah kalau cikgu ni yang berucap mesti panjang lebar. Kalau kena ukur guna kilometer, dari Perlis ke Sabah pun belum tentu cukup nak dibandingkan dengan betapa panjangnya ucapan dia, wakakakaka!
Hatinya ligat mengumpat Cikgu Maznah.
Peringatan: Jangan tiru aksi ini. Nanti ilmu tidak berkat!
Kesemua pelajar yang berada di situ mengangguk tanda faham akan maklumat yang disampaikan. Beberapa minit setelah Cikgu Maznah selesai menjelaskan segalanya berkaitan teater komsas itu, sesi pertama latihan dimulakan.
Mata Balkish terkunci pada seorang gadis yang turut berada di dalam dewan itu. Tinggi lampai bak Miss Universe, kulit halus dan cerah seperti model Fair and Lovely, mata yang agak sepet seperti gadis Cina asli serta memiliki rambut ikal mayang bagaikan Puteri Mayang Mengurai. Susuk tubuh yang sangat sempurna untuk memegang watak Puteri Hang Li Po. Itulah dia Elly Marina.
Balkish Batrisya tanpa rasa ragu mengatur langkah ke arah gadis itu.
Esok-esok mesti habiskan banyak masa dengan dia. Latihan lah katakan…
Bisik hatinya.
Dengan muka yang manis, Balkish menegur Elly Marina.
“Hai, awak Elly Marina, kan? Saya Balkish. Balkish Batrisya.”
Elly Marina kaku seketika melihat Balkish Batrisya. Dilihatnya gadis itu dari atas hingga bawah. Macam body inspection lah pula! Dengan pandangan sinis, gadis itu berkata,
“Erm… wait a sec, wait a sec. Balkish…”
Lagaknya seperti seseorang yang cuba mengingati sesuatu dengan payahnya!
Balkish Batrisya tetap berdiri di situ. Menanti Elly Marina untuk menyambung perbualan.
Beberapa saat kemudian…
“Haa!!! Yes!! Balkish Batrisya, right? I can remember it now. You yang jadi orang gaji I dalam teater ni, kan? Pegang watak Dang Wangi, isn’t it?”
Lagak Mat Salleh yang ditunjukkan oleh gadis itu serta bibir ala-ala Angelina Jolie ketika bercakap menyebabkan Balkish menjadi muak.
ORANG GAJI?!!!!! Dalam banyak-banyak perkataan Bahasa Melayu orang gaji jugak yang dia pakai untuk ingat aku?!!! Dayang kan lagi sedap bunyinya? Ini orang gaji pulak! Ini boleh mengundang kemarahan tahap dewa ni!!! Sabar Balkish, sabar. Aissshhhhhh! Menyesal aku tegur budak berlagak ni! Dah lah buat gaya bibir Angelina Jolie, padahal bibir dia tak ada lah tebal sangat pun, pakai bahasa rojak pulak! Hancurlah bahasa jiwa bangsa che kak oiii!
Balkish Batrisya mula menyumpah-seranah sendirian dalam hati. Tapi zahirnya, dia tetap tayang muka seolah-olah Elly Marina memujinya sebentar tadi. Manis seperti sebelumnya. Kalah manis jus Sunkist! Belum sempat dia membalas kenyataan Elly, Radhi tiba-tiba muncul di situ. Walaupun dia hanya melibatkan diri sebagai kru di belakang tabir, tapi sejak tadi, dialah orang yang paling sibuk di dalam dewan itu! Bertanya itu dan ini tidak habis-habis!
“Kau orang, apa hal buat persidangan ‘sipi-sipi’ dewan ni? Jom pergi depan. Cikgu Maznah panggil!”
Sebelum berlalu dia sempat menjelirkan lidah sambil memandang ke arah Balkish tetapi mengenyitkan mata pula kepada Elly Marina.
Ni lagi beruk seekor ni! Ada jugak yang aku perap dalam mesin basuh ni! Dua kali lima dengan bos kau si Adam tu!
Sesi latihan pada hari itu berlangsung selama lebih kurang dua jam. Selesai latihan, masing-masing bergerak ke luar dewan. Adam Fariz dengan laju membontoti Balkish Batrisya sehingga ke stesen bas yang terletak di luar kawasan sekolah.
“Dinda, dinda, tunggu kanda!” Adam Fariz menjerit tidak tahu malu.
Balkish Batrisya yang sememangnya ‘panas’ disebabkan Elly Marina tadi semakin ‘berasap’ apabila mendengar Adam Fariz menjerit sebegitu rupa.
“Kau apa hal, nak makan penampar?”
Muka garang ditayang oleh singa, eh, Balkish Batrisya.
Adam Fariz senyum lebar.
“Saya saja nak practise lakonan tadi tu. Kita kan pasangan kekasih jadi mestilah biasakan diri dengan situasi couple.”
Gaya manja Adam Fariz menggelikan Balkish Batrisya.
“Puuuuiiiihhhhhh!!! (gaya meludah ke tanah, gaya semata-mata) Selisih malaikat empat puluh empat! Kalau nak temberang tu asah lah skill dulu. Babak mana dalam drama tadi yang cakap Dang Wangi bercinta dengan Sultan Melaka?!”
Adam Fariz ketawa bagai nak rak!
“Eh, eh, betul juga apa yang awak cakap tu. Kalau tak ada dalam drama, kita ada-ada kan lah, boleh?”
Sekali lagi tawa Adam Fariz memecah suasana.
Balkish Batrisya merasakan tidak ada faedahnya dia terus berada di situ melayan kerenah pesakit mental tahap tegar itu. Dia segera angkat kaki. Baru dua langkah berjalan tiba-tiba dia terhenti. Kedengaran suara seseorang memanggil namanya,
“Batrisya, tunggu sekejap!”
Sebaik sahaja dia mengalihkan pandangan ke arah suara itu, rupa-rupanya pemilik suara itu ialah Mohd. Hayree Ibrahim a.k.a. Hang Jebat.
Muka Balkish terus bersinar-sinar.
Hihihi… dia datang. Kawal sikap, kawal sikap. Mode: perempuan melayu terakhir
Balkish menyapa Hayree diiringi dengan senyuman yang paling manis!
“Ada apa awak panggil saya, Hayree?”
Nada suara Batrisya persis puteri ayu yang lemah-lembut.
Peringatan: Kawal diri daripada ‘dirasuki’ makhluk lain kalau bertemu dengan orang yang disukai!
“Awak dah nak balik?” tanya Hayree.
“Yalah, takkan dia nak jual sayur pulak dekat stesen bas ni!”
Soalan yang asalnya ditujukan kepada Balkish malangnya dijawa oleh Adam Fariz. Balkish Batrisya tidak boleh marah, nanti pecah pula tembelang di hadapan Hayree Ibrahim. Hilang keayuan!
Balkish Batrisya mengangguk dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
“Kalau macam tu, kita balik sama-sama nak?” ujar Hayree.
“TAK BOLEH!”
Adam Fariz menghalang. Terlihat raut wajah tidak puas hati pada muka Hayree Ibrahim. Akhirnya, mereka bertiga berpandangan di antara satu sama lain.
Adam Fariz: Aku tak akan benarkan kau rapat dengan Balkish walau apa pun yang terjadi!
Hayree Ibrahim: Sarang tebuan jangan dijolok. Apa masalah mamat ni? Kacau daun betul!
Balkish Batrisya: Eiiishhhh, Adam Fariz!! Kenapa kau perlu ada saat ini! Hayree, lepaskanlah aku dari cengkaman pesakit mental ini!!!
Masing-masing dihujani dengan bisikan kata hati yang entah apa-apa.