Monday, February 28, 2011

11

Pukul 2.50 petang.
Semua peserta yang terlibat untuk mengikuti teater komsas telah menampakkan diri di Dewan Seri Panglima SMKDPA.
Mereka tahu, Cikgu Maznah terlalu pantang dengan pelajar yang tidak tahu menepati masa. Memandangkan guru itulah yang bakal membimbing mereka sepanjang proses latihan drama, tidak ada seorang pun yang terfikir untuk cari pasal dengan cara datang lewat semasa perjumpaan yang diadakan buat pertama kalinya bagi semua peserta yang terpilih.
Sesi perkenalan lah katakan.
Sharifah Balkish Batrisya menanti sambil duduk di koridor berdekatan. Perasaannya masih lagi berkecamuk. Tidak tahu, mahu gembira kerana terpilih untuk melakonkan salah satu watak utama atau mahu bermuram durja kerana makhluk tuhan yang paling dibencinya juga turut sama melakonkan salah satu watak dalam drama tersebut.
Balkish cuma memujuk hatinya untuk berfikir ke arah yang lebih positif.
“Tak apa, Balkish. Setakat ikan sepat seekor tidak perlu diambil pusing! Kau perlu fokus kepada matlamat utama!”
Macam-macam jugalah dialog yang singgah di hatinya. Namun, semua itu tidak dapat memberi walau sedikit pun ketenangan untuk gadis itu. Adam Fariz! Adam Fariz! Adam Fariz! Lelaki itu sajalah yang difikir sejak tadi.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Balkish.”
Tiba-tiba satu suara yang ton nya agak sedap untuk didengar hadir menyapa Balkish, menyebabkan lamunannya berkecai. Sekurang-kurangnya untuk seketika.
Sebaik sahaja muka si penyapa itu terlihat pada pandangannya, kemarahan Balkish Batrisya meletup!!! Kali ini, rasanya letupan itu lebih dahsyat daripada letupan gunung berapi walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Balkish Batrisya seorang sajalah yang merasakan betapa panasnya lava sedang mengalir dengan deras dalam hati nya!
“Kau???!!!!!!”
Soalan bonus itu ditujukan kepada Adam Fariz dengan ekspresi muka ‘kucing tengok terus lari, bayi tengok terus menangis’!!!
“Sejak bila kau jadi orang yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan ni?” soal Balkish dengan selamba tanpa memikirkan sama ada Adam Fariz tersinggung atau pun tidak dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu.
            “Aduh, sakitnya!” Adam Fariz berlagak seperti orang yang terkena serangan jantung.
            Aceceh… minta perhatian dari aku lah tu. Maaflah ya Encik Adam Fariz, I takkan terpedaya dengan strategi murahan you tu!
            “Sampai hati awak melemparkan kata-kata kejam tu kat saya, Balkish. Tahu tak, sakitnya menusuk kalbu, tembus sampai ke jantung tau!”
            “Ada aku kisah?” Balkish Batrisya hanya meluahkan tiga patah perkataan sahaja untuk membalas komen Adam Fariz.
            Adam Fariz hanya tersenyum sinis. Dia sudah lali dengan perangai Balkish yang sebegitu. Perangai yang mencuit hati kecilnya. Tak kisahlah walau setiap hari sekalipun dia dimaki-hamun oleh Balkish. Baginya, yang penting ialah mereka berdua dapat bersua muka.
“Tadi saya ada tengok senarai nama pelakon untuk teater ni. Tak sangka pulak awak pun terlibat sama ya. Surprise gitu! Hmm… nampaknya boleh lah kita berganding bahu untuk berlakon dalam teater ni, kan?” Adam Fariz cuba menyambung perbualan dengan Balkish.
            Namun, respon yang diberi agak menghampakan. Balkish Batrisya tidak mengendahkan walau sedikitpun sapaan itu. Muka cemberut diperlihatkan kepada Adam Fariz sebagai petanda dia tidak ingin meneruskan perbualan.
            “Alaa… janganlah tambah kecomelan awak dengan muka singa lapar tu.”
            Adam Fariz pula yang ganti mengeluarkan kata-kata bonus!
            Muka Balkish sudah merah padam. Tidak dapat dipastikan merah kerana menahan suhu panas ‘yang amat’ pada waktu tengah hari itu atau pun kerana menahan betapa panas, betapa pedas, dan betapa berbisanya sindiran Adam Fariz tadi!
            Dia samakan aku dengan singa lapar??? Ini memang melampau ni! Sudah sampai ke tahap menyentuh isu-isu sensitif! Muka ‘jambu baik punya’ macam ni dia bandingkan dengan singa? Gila ke apa?!
            “Amboi, sedap betul kau mengata aku depan-depan ya! Kata muka aku macam singa pulak tu. Kau ingat muka kau tu dah handsome sangat lah nak mengata aku? Memang patut aku ambush kau dengan kata-kata menusuk jantung tadi!”
            Balkish yang tadinya sekadar berleter sendirian dalam hati kini bersuara menggunakan pitching yang agak menyakitkan telinga.
            “Janganlah macam ni, Balkish. Kalau kesakitan daripada kata-kata awak tu tembus ke jantung saya, awak pun sama-sama rasa akibatnya.” Dengan muka ‘selamba gila’ dia memandang Balkish Batrisya sambil mengucapkan kata-kata itu.
            “Apa pula kaitan kau dengan aku?”
            “Eleh, buat-buat tak tahu pula dia,” Adam Fariz mengangkat keningnya berulang kali sambil melihat wajah Balkish dengan senyuman sinis.
            “Apa??!!!!!”
            “Bukan kah jantung saya, jantung awak jugak? Bak kata orang, jantungmu jantungku jua.”
            Selesai mengucapkan kata-kata itu, Adam Fariz terus ketawa terbahak-bahak tanpa menghiraukan Balkish yang berdiri di hadapannya persis tunggul kayu.
            Balkish Batrisya apa lagi, gadis itu sudah bersiap sedia pun untuk melancarkan serangan menggunakan ‘bom nuklear’ miliknya. Lebih tepat lagi, melancarkan serangan menggunakan segala bekalan kata-kata menusuk kalbu yang ada! Namun, belum sempat serangan pertama dilancarkan, kelibat Cikgu Maznah mengatur langkah ke dewan sudah terlihat, menyebabkan niat itu terbatal di situ.
            Celaka, Adam Fariz, kita tunggu dan lihat saja nanti…
            Entah rancangan apa lagi yang direncanakan oleh Sharifah Balkish Batrisya untuk menentang lawannya itu.

Thursday, February 24, 2011

10

Seminggu berlalu...
            Pukul 9.15 a.m.
“Balkish! Balkish! Cikgu dah paparkan keputusan ujibakat tu kat papan info Jabatan Bahasa! Jom kita tengok cepat!” kedengaran suara Mysara yang tidak sabar-sabar untuk melihat keputusan ujibakat yang mereka ikuti.
Tidak semena-mena dia terus menarik tangan Balkish menuju ke papan info Jabatan Bahasa. Balkish terjerit kecil dengan perlakuan sahabatnya itu.
“Yang kau excited sangat ni kenapa? Macam confirm je yang kita dapat watak dalam teater tu. Kalau ya pun gembira sangat, janganlah tarik-tarik aku sampai macam ni,” Balkish berleter sepanjang perjalanan mereka.
Namun, tidak satu pun leteren gadis itu yang masuk ke telinga Mysara.
Hanya satu perkara sahaja yang berlegar-legar di otaknya kini,
KEPUTUSAN UJIBAKAT TEATER KOMSAS ITU!
Akhirnya, langkah mereka terhenti di hadapan papan info yang dimaksudkan. Mysara berpaling ke arah Balkish.
“Macam mana? Kau dah sedia nak tengok keputusan ni?” Mysara bertanya.
“Seratus-peratus sedia!” Balkish menjawab penuh bersemangat.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, mereka mengalihkan perhatian pada sehelai kertas putih yang tertampal pada papan itu.
Belum sampai tiga puluh saat, kedua-dua gadis itu terjerit-jerit tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang ketika itu!
“Kita dah dapat! Kita berdua dapat ikut teater tu!” Mysara melonjak kegirangan.
“Yalah, tak sangka betul aku! Waaah, bestnya! Tengok ni, kedudukan nama kita kat atas sekali!” Balkish turut terlonjak sama.
Mereka berdua melihat sekali lagi keputusan ujibakat tersebut. Bagaikan tidak percaya bahawa mereka diterima sebagai salah seorang pembawa watak dalam teater ‘Puteri Li Po’.
“Hmm... lepas nama Elly Marina sebagai Puteri Li Po, nama kau kat atas sekali, Balkish.  Kau pegang watak... Dang Wangi! Bagus tu! Aku pulak, dapat watak Kembang Cina!” Mysara masih lagi dengan perasaan gembiranya. Senyuman manis masih meniti di bibir gadis kecil itu.
“Sara, cuba kau tengok siapa yang pegang watak Hang Jebat?” permintaan Balkish membuatkan Mysara melihat sekali lagi nama-nama yang tertera pada kertas itu.
“Susah-susah, aku sebut watak utama yang aku rasa penting ni ya!”
Okay,Sara!”
“Hmm... Puteri Li Po dilakonkan oleh Elly Marina, Dang Wangi dilakonkan oleh Sharifah Balkish. Hang Jebat pula dilakonkan oleh Mohd. Hayree Ibrahim. Seterusnya, Sultan Melaka, eh...ini...” Mysara terhenti seketika.
Bagaikan terkena kejutan elektrik hendaknya keadaan Mysara ketika itu. Terpacak. Diam. Membisu.
“Sara, kenapa kau berhenti?” Balkish bertanya kehairanan.
“Err... ni kan...”Mysara tidak meneruskan ayatnya.
“Ini apa? Kau ni...” Balkish berkerut.
Arini Mysara masih membatu. Bosan dengan kelakuan sahabatnya, Balkish memilih untuk bertindak.
“Biar aku je lah yang tengok sendiri.”
Balkish melihat keputusan itu. Mysara mula menjarakkan dirinya jauh sedikit daripada Balkish. Seolah-olah sudah bersiap-sedia terhadap reaksi yang bakal ditunjukkan oleh gadis itu.
“Hmm... mari kita tengok. Sultan Melaka dilakonkan oleh...”
Mysara menanti dengan penuh debaran.
Tidak lama selepas itu wajah Balkish berubah pucat memandang papan info itu! Matanya mengecil! Saat itu juga, satu raungan bergema di sepanjang koridor Jabatan Bahasa.
“APAAAAAAAA??!!!”
Balkish membesarkan bola matanya. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Pada papan info itu, jelas sekali tertera:

SULTAN MANSUR: ADAM FARIZ B. AHMAD ZAKHWAN

Satu lagi raungan bergema kembali memecah suasana!
“TIDAAAAAAAK!!!!!”

Pukul 10.27 a.m.
“TIDAK! Cikgu tak benarkan kamu tarik diri, Balkish!”
Kedengaran suara Cikgu Maznah begitu tegas mengisi ruang Bilik Guru.
“Tapi Cikgu, saya...”
“Sudah, Cikgu tak mahu dengar sebarang alasan lagi.”
Cikgu Maznah mencelah sebelum Balkish sempat menyatakan sebarang sebab dia menarik diri daripada menyertai teater komsas tersebut.
“Balkish, hari itu semasa ujibakat Cikgu tengok kamu yang paling bersemangat sekali! Sekarang tiba-tiba kamu nak tarik diri pula. Kalau kamu nak tahu, kamu lah antara peserta yang Cikgu rasa boleh menjamin kedudukan sekolah kita untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan ini. Kamu ada bakat yang besar dalam bidang teater. Jangan sia-siakan kelebihan yang kamu ada. Apapun alasan kamu, Cikgu tetap tidak benarkan kamu tarik diri. Ini keputusan Cikgu yang muktamad.”
Panjang sungguh leteran Cikgu Maznah terhadapnya.
Setengah jam kemudian, kelihatan Balkish melangkah keluar dari bilik guru dengan gerak kaki yang tersangat longlai.
Dengan berakhirnya leteran Cikgu Maznah sebentar tadi, kata putus sudah dicapai.
Dia tetap akan memegang watak sebagai Dang Wangi dalam teater komsas tersebut. Alangkah robeknya hati gadis malang itu ketika ini apabila membayangkan keadaannya yang bakal duduk sebumbung bersama Adam Fariz semasa sesi latihan nanti.
Macam mana nama ikan sepat tu boleh ada dalam senarai nama pelakon teater?
Kenapa? Kenapa beginiiii? Waaaahhhh!!!
Terlalu longlai langkah gadis itu meninggalkan ruang bilik guru. Macam hendak mati saja rasanya!
Memang benar semasa sesi ujibakat dijalankan, Adam Fariz ada di situ bersama pasangan belangkasnya yang seorang itu, Radhi. Tetapi Balkish tidak pernah menyangka bahawa muka mereka yang terlalu bersahaja ketika itu terpilih pula untuk menjadi sebahagian daripada warga teater komsas pada tahun ini.
Hatinya meraung. Dirasakan saat ini jantungnya bagai ditarik keluar oleh Adam Fariz sambil berkata dengan kejamnya, AKU DAH MENANG! HA! HA! HA!
Langkahnya tetap longlai mengenangkan nasib di rantau sendiri. Bagaimana pula bila berada di rantau orang? Pasti lebih teruk lagi...
Percubaannya untuk meloloskan diri daripada teater komsas gagal total! Belum sempat dia menuju masuk ke pintu kelas 5UKM, kedengaran pengumuman dari corong radio SMKDPA.

PERHATIAN KEPADA SEMUA PELAJAR YANG TERPILIH UNTUK MENGIKUTI PERTANDINGAN TEATER KOMSAS, SATU PERJUMPAAN AKAN DIADAKAN DI DEWAN SERI PANGLIMA PADA PUKUL 3 PETANG HARI INI. SEKIAN, HARAP MAKLUM.

Nampaknya terpaksa juga dia menghadap muka Adam Fariz petang ini. Geram sungguh hatinya!
Tidak tahu nasib apa yang bakal menimpanya, Balkish cuba menerima kenyataan yang berlaku dengan hati yang redha. Masalahnya, menghadap muka ‘duli yang maha mulia Sultan Mansur’ alias Adam Fariz itu, adalah paksaan semata-mata! Bukan satu keredhaan.
Walau bagaimanapun, di sebalik babak dukacita milik Balkish Batrisya, ada insan lain yang bergembira dengan semua ini. Maklumlah, rancangan sudah menjadi!