Tuesday, May 18, 2010

1


Pukul 9.10 a.m.
Kepulan awan di langit yang menutupi sinar matahari terik meredupkan suasana di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Panglima Abdullah. Diisi pula dengan kicauan burung dan deruan angin yang cukup menyegarkan, keadaan sekolah itu menerbitkan rasa damai dalam diri setiap warganya.
Namun, ketenangan ini tidak bertahan begitu lama.
Sejurus sahaja loceng dibunyikan, keadaan riuh-rendah yang dicetuskan oleh para pelajar mula mengisi ruang, sebagaimana waktu rehat sebelumnya. Walaupun keadaan itu tidaklah sesenyap mana, semua orang masih tidak lepas daripada menikmati udara yang begitu nyaman ketika itu.
Kecuali seorang.
Di satu lorong, kelihatan Balkish Batrisya yang mengenakan uniform Persatuan Bulan Sabit Merah sedang menderaskan langkah menuju ke pusat sumber. Keadaannya yang tergesa-gesa menarik perhatian semua orang yang berselisih dengannya.
Habislah aku! Habislah aku! Ni kali pertama aku datang bertugas lambat. Buat rosak rekod betul lah!
Hatinya menggerutu.
Begitu selamba dia berlari di hadapan semua orang. Guru-guru yang sempat melihat telatahnya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Ada juga yang memandang gadis itu dengan renungan yang tajam. Namun, semuanya tidak dipedulikan oleh Balkish. Buat masa ini, hanya satu perkara saja yang mengisi benaknya.
Kelewatan menjalankan tugas buat pertama kalinya setelah mengungguli carta penyampai radio terbaik dengan rekod dalam tangan: 77 kali bertugas tanpa kesilapan!
Dalam kekalutan itu, Balkish menoleh ke belakang. Lagaknya bagai mencari seseorang. Kini dia berlari tanpa memandang ke hadapan. Satu perkara yang sangat tidak patut dilakukan oleh seorang pejalan kaki yang berhemah.
Setelah menyedari gerangan yang dicari tidak juga muncul-muncul, Balkish kelam-kabut menoleh semula ke hadapan dan,
BUK!!!
PAKAIAN gadis itu sudah menyapu lantai. Pelajar-pelajar yang ada di sekitar situ tergamam melihat kejadian yang berlaku sebentar tadi. Rupa-rupanya dia telah terlanggar seseorang!
Ada juga pelajar yang sempat mentertawakan kejadian itu.
Balkish Batrisya blur seketika. Mencari tempat yang strategik untuk menyorokkan muka malunya. Hendak menyorok di mana agaknya? Takkan dalam baju kut! Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata Cikgu Bob, kalau kamu malu muka kamu nanti nak letak mana??? Hah, masukkan dalam seluar! Mesti tak nampak punya!!!
Rupa-rupanya sempat lagi Balkish mengingatkan kata-kata lazer Cikgu Bob!
Balkish Batrisya kini panik.
Alamak! Macam mana boleh terlanggar tadi?
Ujar hatinya. Muka malu tadi cuba di cover dengan raut wajah yang serius.
Cepat-cepat dia bangun mendapatkan lelaki yang turut jatuh akibat berlanggar dengannya.
Lelaki itu bangun membelakanginya.
“Err... maafkan saya. Saya tak sengaja. Saya nak cepat tadi.”
Perlahan dia menjelaskan. Baru bertandang penyesalan dalam hatinya kerana berlari tidak ingat dunia tadi.
Orang itu masih membelakanginya.
“Awak tak apa-apa ke?” Balkish bertanya.
Pertanyaan itu sengaja diajukan walaupun dia sendiri sudah dapat mengagak jawapannya. Balkish merasakan kepalanya seperti berpusing-pusing, pandangannya pula agak kabur. Pasti orang itu juga merasakan perkara yang sama. Mungkin lebih teruk lagi.
Hebat juga impak perlanggaran tadi. Sekarang Balkish mula berfikir apa yang akan dilakukan oleh lelaki di hadapannya, yang masih lagi membelakanginya.
Dia nak belasah aku ke ni? Dah lah tinggi lampai. Kalau aku terlanggar anak pengetua ke? Anak penolong kanan ke? Atau lebih teruk, anak guru disiplin? Arrrggghhh! Ehe...ehe... tapi takkanlah teruk sampai macam tu pulak kan??
Dalam keadaan kelam-kabut itu, otaknya mula memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak logik!
Melihat lelaki yang tidak memamerkan mukanya terhadap Balkish serta tidak memedulikan permohonan maaf gadis itu memaksa Balkish Batrisya untuk bersuara sekali lagi.
“Err, saya minta maaf ya. Saya...”
Belum sempat Balkish menghabiskan ayatnya, lelaki itu sudah berpaling menghadap dirinya. Melihatnya dengan senyuman.
“Awak??!”
Balkish terpaku buat beberapa ketika. Begitu terkejut dia melihat lelaki itu. Tidak percaya bahawa orang itulah yang menjadi mangsa perlanggaran sebentar tadi.
Seramai 287 orang pelajar lelaki sidang pagi, mengapa perlu dengan lelaki itu juga dia dipertemukan? Adakah lelaki itu sememangnya mengekori dirinya sejak tadi?
Balkish mula berasa sangat rimas.
Dia memandang lelaki itu dengan renungan yang tajam.
“Eh, Balkish! Tak sangka pula awak yang langgar saya tadi,” lelaki itu mula bersuara.
“Bila masa aku langgar kau? Kau yang jalan tak tengok orang tadi!”
Balkish berdalih.
“Aik, ya ke? Tapi kalau saya tak silap, bukan saya yang terkejar-kejar dan jalan tak tengok depan tadi.”
Lelaki itu mengusiknya.
Balkish mempamerkan amarah pada wajahnya. Betapa teringinnya dia memberikan kuliah percuma kepada lelaki itu tetapi apabila melihatkan bacaan waktu pada jam tangannya, niatnya terbatal.
Balkish pergi meninggalkan lelaki itu begitu sahaja bersama muka bengisnya. Langkahnya dideraskan kembali. Nampaknya, hari itu bukan merupakan hari yang sesuai untuk Balkish mendapat nasib yang baik. Lihat sajalah nasib ‘baik’ yang menimpanya sekarang.
Mangsa perlanggaran itu hanya melihat gelagat Balkish yang berlari semula menuju ke pusat sumber. Sambil terpinga-pinga sendirian dia berfikir,
Senang-senang aje dia tinggalkan aku macam ni. Dah lah dia dulu yang langgar aku!
Si mangsa perlanggaran itu kemudian turut mengatur langkah berlalu meninggalkan tempat itu.
SETIBANYA di pusat sumber, laju Balkish berlari ke sudut konti radio SMKDPA. Telah tersusun segala kelengkapan dan P.A system untuk kegunaan radio sekolah di situ.
Tanpa membuang masa, dia menghidupkan pemain cakera padat dan memasukkan CD ke dalamnya. Pantas saja tangannya mengambil mikrofon di atas meja dan...
“Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pendengar setia radio SMKDPA, Satu Untuk Semua! Anda sedang ditemani oleh saya, deejay Balkish yang akan bersama anda selama 20 minit sepanjang waktu rehat hari ini. Baiklah, untuk menceriakan hari kita, apa kata anda dengarkan sebuah lagu dendangan Jonas Brothers yang bertajuk Fly With Me! Semoga anda terhibur dan teruskan bersama saya di radio SMKDPA, Satu Untuk Semua!” selesai berceloteh, gadis itu menekan butang play pada pemain cakera padat.
Hatinya puas setelah lagu yang dimainkan kedengaran berkumandang di segenap kawasan sekolah itu.
Phew! Nasib baik lambat 5 minit je. Kalau tidak, tak pasal-pasal aku kena khutbah hari Rabu dengan Cikgu Syarmila!
Dia kemudian melabuhkan punggung pada salah sebuah kerusi yang tersedia untuk penyampai radio sekolah yang bertugas. Sambil menunggu, dia bernyanyi kecil.
Untuk beberapa ketika dia duduk bersendirian di konti. Tiba-tiba mindanya mengingatkan dia akan seseorang.
Aik! Mana pulak Sara ni? Tadi masa lari dia ada kat belakang aku. Hmm... aku lari tadi kira pakai gear tiga je! Takkan dia tak boleh kejar kut!
Tiba-tiba ingatannya diterjah oleh peristiwa perlanggaran sebentar tadi.
Ops! Rasanya aku ter’over’ pulak tukar gear tiga ke gear lima!! Hehe... Siap terlanggar orang lagi!
Tidak lama setelah itu, kelihatan seorang gadis kecil molek yang memakai uniform Kadet Remaja Sekolah memasuki ruang pusat sumber. Bersama buku catatan di tangan, dia datang menghampiri Balkish sambil tersenyum manis.
Arini Mysara! Datang jugak che kak ni...
Sorry, sorry, aku datang lambat. Cikgu Afdlin tahan aku tadi. Dia nampak aku berlari kat koridor masa kejar kau. Sempat lagi aku kena sembur! Cikgu tu kata, Mysara, kenapa kamu berlari-lari macam budak sekolah rendah ni? Sebagai pelajar senior di sekolah ni, kamu patut tunjukkan contoh kepimpinan yang baik. Bukannya terkejar-kejar macam ni! Mana nilai kamu? Hah, tu lah cikgu tu cakap tadi! ”
Begitu tekun Arini Mysara memberikan penjelasan. Takut kalau Balkish tidak mempercayai kata-katanya. Siap mengajuk setiap perkataan yang dikeluarkan oleh Cikgu Afdlin lagi.
“Tak apalah. Aku faham. Cikgu tu sayang sangat kut dengan kau. Tu yang dia sempat tahan kau masa jalan. Sekurang-kurangnya, taklah kempunan nak tengok muka comel kau tu hari ni! Wakaka!”
Balkish Batrisya sempat menyakat sahabat baiknya itu dan tergelak kecil. Mysara pula mendengus mempamerkan muka tidak puas hatinya. Dalam hati Balkish sempat berfikir, mujurlah bukan Cikgu Afdlin yang dilanggarnya sebentar tadi. Kalau tidak, mungkin sebulan dia akan berada dalam keadaan koma selepas telinganya mendengar nasihat-nasihat ekstrem Cikgu Afdlin!
“He..he.. janganlah marah che kak sayang. Aku bergurau aje lah.”
Balkish bersuara dengan nada memujuk.
“Aku tahu... tak ada maknanya...”
Arini Mysara hanya sekadar tersenyum membalas ucapan Balkish Batrisya. Sememangnya gadis itu memang murah dengan senyuman. Seolah-olah dia tidak pernah menghadapi masalah serius dalam hidupnya. Walaupun realiti yang terpaksa dihadapi oleh Mysara dalam kehidupan ialah sebaliknya.
Balkish tahu akan kebenaran kata-kata Mysara. Siapa yang tak kenal dengan Cikgu Afdlin? Guru disiplin yang paling tegas di seluruh alam semesta! Merangkap guru Matematik Moden di sekolah itu.
Mendengar bunyi tapak kasutnya saja, bagaikan terpandang Puaka Niyang Rapik! Apalagi bila melihat wajahnya! Dan renungan matanya pula, ah menusuk di kalbu!
Senang cerita, cikgu ni memang dahsyat!
Seboleh-bolehnya tidak ada seorang pelajar lelaki pun yang mahu bertentang mata dengannya. Ada saja yang tidak kena. Kenapa rambut kamu panjang, kenapa seluar kamu terlondeh, kenapa baju kamu ketat? Kenapa itu? Kenapa ini?
Banyak lagilah...
Antara ayat wajib yang akan dikeluarkannya apabila mendepani pelajar bermasalah ialah, cikgu tak tahu kat mana kamu letak nilai moral kamu sampai kamu sanggup melanggar disiplin! Mana nilai kamu?
Sudah tersemat rasanya dialog itu dalam kepala Balkish. Mana tidaknya, hampir setiap kali perhimpunan, dialog itu jugalah yang akan dikeluarkan.
Walaupun Cikgu Afdlin dilabel sebagai ‘guru garang’, kenyataannya dia harus diberikan pujian kerana sepanjang guru itu menyandang jawatan Ketua Guru Disiplin, masalah disiplin dalam kalangan pelajar dapat dikurangkan. Prestasi Badan Disiplin dalam soal pengawasan sekolah juga semakin memuaskan.
Terima kasih Cikgu Afdlin!

No comments:

Post a Comment