Tuesday, May 18, 2010

2


Masa sepanjang waktu rehat diisi dengan celoteh terhormat daripada Balkish dan Mysara.
Walaupun kerjaya kecil sebagai penyampai radio sekolah menyebabkan mereka terpaksa mengorbankan waktu rehat pada hari Isnin dan Rabu, namun mereka tidak pernah merungut walau sekali pun. Kerana itulah, Cikgu Syarmila selaku guru penaung bagi Kelab Radio Sekolah SMKDPA tidak pernah ragu-ragu untuk meletakkan kepercayaan kepada mereka.
Apalagi mereka berdua juga merupakan antara pelajar yang tersenarai dalam kategori pelajar harapan di sekolah itu.
Memang kalau diturutkan rekod, cuma penyampai radio berdua itu saja yang mempamerkan prestasi yang cemerlang tanpa menjejaskan walau sedikit pun prestasi akademik mereka. Nak sandang gelaran penyampai radio sepanjang zaman lah katakan.
“Balkish, cuma kamu dan Mysara saja yang boleh cikgu harapkan untuk menghidupkan suasana radio sekolah. Tak tahulah cikgu nak buat apa kalau kamu berdua dah tak belajar di sekolah ni lagi.”
Kata-kata pujian daripada Cikgu Syarmila masih lagi terngiang-ngiang di telinga Balkish.
Sebenarnya, kata-kata seperti itulah yang sentiasa menjadikan dirinya lebih bersemangat dalam menjalankan tugas. Hendak dikatakan dia mengharapkan pujian, tidaklah juga cuma... ya... dia senang mendengarkan ayat-ayat sebegitu.
Siapa tak suka diri kena puji oi!
Sedang lagu Teruja dendangan Ella rancak dimainkan, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berpakaian lengkap seperti seorang inspektor polis, tinggi lampai dan berkulit putih masuk ke dalam pusat sumber.
Kedua orang penyampai radio itu segera didekatinya.
Huh! Adam Fariz! Makhluk tuhan yang paling menjengkelkan! Nak apa dia datang sini? Benci aku!
Kamulah makhluk tuhan, yang tercipta, yang paling sewel!
Desis hati Balkish.
Sempat juga dia menyanyikan lagu dendangan Mulan Jameela dalam hati. Lagu yang telah ditukar liriknya, khas untuk makhluk tuhan di hadapannya itu. Balkish berfikir dalam diam, bagus juga dia melanggar lelaki itu sebentar tadi di koridor.
Mudah-mudahan perlanggaran itu dapat membetulkan segala macam urat saraf pada otaknya yang tersalah sambung sehingga menyebabkan lelaki itu berkelakuan seperti orang yang tidak waras pada pandangan Balkish.
“Hai, Balkish! Ni ada pengumuman daripada Badan Disiplin. Nanti tolong sampaikan tau. Okay sayang?”
Pendek lelaki itu menjelaskan sambil menghulurkan sehelai kertas kecil kepada Balkish Batrisya dengan iringan senyuman yang paaling manis!
Bicaranya pula begitu lembut menyapa gadis itu. Selembut kapas kiranya!
Balkish berpura-pura tekun mendengarkan lagu yang sedang diputarkan di radio.
“Ish! Ish! Sedapnya lagu nih! Siapa punya CD ni? Nak jugak aku pinjam!”
Padahal CD aku sendiri! Wakaka!
Kelakuan Balkish yang sedikit pun tidak mengendahkan Adam Fariz membuatkan Mysara bangun dari tempat duduknya dan mengambil kertas itu daripada Adam Fariz.
“Nanti kita orang sampaikan.”
Lembut Mysara berbicara.
“Terima kasih Mysara.”
Adam Fariz mengalihkan pandangannya kepada Balkish.
“Sayang Balkish... Abang Fariz gerak dulu ye. Kat kelas nanti kita jumpa.”
Selamba sungguh Adam Fariz mengeluarkan ayat itu. Sedarkah dia bahawa gadis bernama Balkish itu sudah hampir bertukar menjadi ‘Optimus Prime’ yang ingin memijak-mijak dan menghancur-lumatkan dirinya saat itu juga?
Rasanya tidak....
Adam Fariz keluar meninggalkan pusat sumber dan sempat mengenyitkan matanya kepada Balkish.
Balkish membalas dengan menunjukkan kedua-dua penumbuknya bersama renungan mata yang paling tajam! Yii... seramnya...
Arini Mysara dapat menyaksikan aura kemarahan yang tertera pada muka sahabatnya itu tetapi tindakan refleksnya hanyalah senyum dan diam.
“Isya, yang kau benci sangat dengan dia tu kenapa?”
Mysara memulakan perbualan sementara menunggu lagu yang diputarkan selesai.
“Kau tanya aku kenapa? Kenapa? Kau tak nampak ke apa dia buat depan aku tadi? Siap kenyit-kenyit mata pulak tu. Panggil aku sayang lagi! Uwek! Geli aku!”
Ala, dia saja nak menyakat kau tu. Bukan kau tak kenal Adam Fariz. Kasanova tu! Janganlah ambil serius sangat. Kau buat je macam angin lalu.”
Mysara meliuk-lentokkan tubuhnya. Meniru pergerakan angin lalu.
Tak serupa pun!
“Sara, mana adanya dia saja-saja nak menyakat aku! Fariz ni memang dah melampau! Banyak-banyak perempuan kat sekolah ni, kenapa aku jugak yang dia nak bantai dengan lawak bodoh dia tu? Tak kuasa aku nak layan mamat tu! Geram aku! Yii!” Balkish mengecilkan matanya. Itu satu tabiat biasa baginya apabila geramnya sudah mencapai tahap gaban!
“Betul ke tak kuasa nak layan? Ke kau takut jatuh hati dengan Fariz kalau kau layan dia? Dah lah dia layan kau dengan begitu romantis! Begitu lemah lembut! Wah, aku pulak yang rasa nak cair nih...” pertanyaan itu membuatkan telinga Balkish Batrisya berdesing.
Arini Mysara tahu bahawa soalannya tadi mengundang bengang di hati Balkish. Namun, dia tetap berlagak selamba kerana tahu bahawa kemarahan sahabatnya tidak akan melebihi batas. Lagi pula, tadi Balkish Batrisya sempat mengenakannya berkaitan Cikgu Afdlin. Tiada salahnya kalau dia membalas sekali-sekala.
Bukanlah ingin membalas dendam. Lebih kepada bergurau-senda, atau perkataan tepatnya ialah menyakat!
Arini Mysara masih lagi selamba walaupun mata Balkish tidak lepas daripada memandangnya mukanya. Mysara tetap sempoi sambil mengipas-ngipas dirinya mempamerkan aksi ‘panasnya dunia’ walaupun mereka berdua betul-betul berada di bawah kipas yang berputar pada kelajuan maksimum. Geli juga hatinya memandang wajah Balkish yang agak serius. Jarang sekali gadis itu menempel muka serius di sekolah melainkan topik berkenaan Adam Fariz disingkap.
Mysara tersengih-sengih apabila mengingatkan adegan antara Balkish Batrisya dengan Adam Fariz sebentar tadi. Syok sendiri lah tu!
Setelah lama berdiam diri, akhirnya Balkish bersuara.
“Ai, lain macam je bunyi soalan kau tadi aku dengar... Sara, satu-satunya perasaan yang aku ada kat mamat tu ialah perasaan benci! Perasaan menyampah yang maha super disebabkan kegatalan dia tu! Pantang tengok perempuan, mula lah nak berjiwang-jiwang!”
Balkish Batrisya memuncungkan mulutnya tanda protes terhadap kelakuan Adam Fariz tadi. Kalau boleh, ingin dipanjangkan mulutnya itu lebih panjang daripada hidung Pinocchio!
“Sahabatku Sharifah Balkish Batrisya, aku cuma buat hipotesis je. Lagipun, kalau kau betul-betul dah suka pada dia, aku tak terkejut pun! Mamat tu kan dah lah handsome, romantik pulak!”
Mysara masih ligat bertutur. Bukan untuk menyebelahi Adam Fariz tapi cuma ingin memperlihatkan kebenaran kepada Balkish. Kebenaran yang entah bila akan disedari oleh si manis tujuh belas itu.
Kemuraman Balkish masih tidak berubah. Semakin cemberut pula wajahnya.
“Muka lawa pun tak guna kalau gatal tau! Kau ingat dengan muka dia yang macam ikan sepat tercabut insang tu, boleh buat aku suka kat dia? Kirim salam je lah!”
Arini Mysara tergelak mendengarkan ayat Balkish.
“Isya... Isya... sampai hati kau kata dia macam tu. Tak baik tau! Ada ke patut muka Fariz tu kau samakan dengan ikan sepat! Gatal-gatal dia pun, setakat gatal nak menyakat orang aje. Bukannya gatal pegang sana, pegang sini. Kau tu je yang melebih-lebih benci dengan dia.”
Dia masih tidak faham mengapa sahabatnya begitu membenci Adam Fariz. Seolah-olah ada sesuatu yang telah terjadi antara Balkish dengan Adam Fariz yang membuatkan dia begitu marah pada lelaki itu.
Setahunya, Adam Fariz digelar kasanova pun hanya kerana mulut romantisnya apabila bercakap dengan perempuan. Bukan kerana tukar-tukar pasangan macam mat romeo!
Tak pegang sana, tak pegang sini kau cakap, Mysara? Kau tengoklah apa jadi nanti...
Balkish yang merasakan bahawa dia sudah lama memasang muka yang agak tegang di hadapan Mysara menukar ekspresi wajahnya menjadi lebih tenang dan relaks. Lenguh juga urat-urat mukanya menayangkan muka masam sebegitu. Sebenarnya, Balkish Batrisya merupakan seorang yang cepat meredakan kemarahannya. Kerana itu, Mysara tidak kisah kalau bergurau sekali-sekala untuk melihat muka cemberut milik Balkish. Tapi gurau punya gurau pun, Arini Mysara tetap tahu bila waktunya dia boleh bergurau dan bila harus dia menghentikan gurauannya itu.
Boleh dikelaskan muka Balkish Batrisya ialah muka bahagia. ‘Beruntung’ lah orang yang dapat menyaksikan kemarahannya. Seboleh-bolehnya Balkish tidak akan memperlihatkan kemarahannya kepada sesiapapun melainkan topik yang mengundang kemarahannya itu sangat serius. Berkenaan topik Adam Fariz...
YA!!! ITU MEMANG TOPIK YANG TERLALU SERIUS!!!
Balkish Batrisya boleh mengawal kemarahannya kepada sesiapa pun, tapi tidak pada Adam Fariz. Makhluk tuhan yang satu itu. Kadang-kadang terlintas juga di benaknya, mengapa dia terlalu membenci Adam Fariz? Adakah disebabkan ‘peristiwa pondok kecemasan’ itu? Dia juga tidak pasti. Yang betul-betul dapat dipastikannya, setiap kali berhadapan dengan Adam Fariz, hatinya panas! Kenapa ya....
“Sebenarnya, aku tak benci dengan dia. Tapi, aku benci dengan perangai gatal dia yang menyakat orang itulah! Pasal tu, walau dah dua tahun duduk sekelas, sikit pun aku tak ada hati nak tegur dia!”
“Jadi kalau dia tak gatal, kau sukalah kat dia? Macam tu?” Bebola matanya tepat diarahkan kepada Balkish Batrisya.
“Ish! Aku tak cakap macam tu pun!”
Cepat-cepat Balkish menidakkan kenyataan Arini Mysara.
“Tapi kau perasan tak? Sejak Fariz mula menyakat kau, tak pernah aku tengok dia sakat perempuan lain. Biasanya, Fariz tu tak pilih orang, semua perempuan dia nak sakat.”
Balkish berkerut mendengar ayat Mysara.
“Alah, tu taktik dialah tu! Kita mana tahu. Dah lah malas aku nak cerita pasal dia! Buang karan je!”
Balkish cuba menukar topik perbualan.
Mysara masih lagi tercegat memandang Balkish dengan ekspresi wajah yang penuh misteri.
“Aku rasa Adam Fariz tu suka kau lah!” secara tiba-tiba ayat yang sangat spontan itu dikeluarkan Mysara.
Balkish hanya menonjolkan reaksi ‘ada aku kisah’ terhadap komen Mysara. Dia kemudian bersiap sedia dengan ‘peluru-peluru’ leteran untuk menangkis tanggapan sahabatnya.
“Sara, stop talking about this annoying topic, okay? Jangan cuba nak buat aku perasan tau. Tak mainlah topik suka-menyukai ni. Ish, tak kuasa aku! Dah lah aku tengah pening fikirkan benda lain.”
Balkish mula melihat jam tangannya. Takut-takut nanti, cerita punya cerita, penyampai radio berdua ni terlebih masa pula untuk bersiaran! Tak pasal-pasal kena ‘serbuan komen bertubi-tubi’ daripada semua guru.
Setelah sedia maklum bahawa waktu bersiaran masih ada sepuluh minit lagi, gadis itu kembali memusatkan pandangannya pada Mysara.
“Yalah, yalah. Aku tak cakap pasal Fariz lagi, okay? Ni aku nak tanya sikit. Kau fikir pasal apa?”
Mysara tiba-tiba bertanya. Berminat ingin tahu akan ‘benda lain’ yang difikirkan Balkish.
“Adalah... tak boleh bagi tahu! Rahsia!”
“Ala, bagi tahu lah aku, Isya.”
“Tak bolehlah. Ni rahsia...”
Mereka berdua terdiam seketika.
“Haa! Aku tahu! Ni mesti pasal topik yang kau paling tak suka tu kan? Kan? Kan? Kan?”
Wajah serius Balkish tiba-tiba mengukirkan senyuman mendengar agakan Mysara.
“Sara... kaulah sahabat aku dunia akhirat. Aku tak cakap pun kau tahu juga. Macam mana aku nak berahsia dengan kau esok-esok nanti?” kadangkala gadis itu kehairanan dengan kepakaran Arini Mysara yang sentiasa meneka dengan betul berkaitan dirinya.
“Tak payahlah kau nak fikir pasal simpan-simpan rahsia ni. Kita kan bestfriend, janganlah berahsia.” Mysara memandang tepat pada anak mata Balkish.
“Tahu tak Isya, sejak aku berkawan dengan kau, aku dah mula faham yang persahabatan ni memerlukan perkongsian dan persefahaman di antara satu sama lain. Jadi, tak seronoklah kalau sahabat baik aku sendiri berahsia dengan aku...”
Mysara menyambung lagi. Meluahkan rasa sebagai seorang sahabat.
Balkish berpeluk tubuh melihat rakannya. Masih diam.
Rasa bersalah singgah di hatinya. Bukan kerana menyembunyikan perkara yang membuatnya runsing kerana Mysara sudah pun tahu tentang perkara itu. Dia cuma berasa bersalah kerana tidak membenarkan Mysara untuk berkongsi mendengar masalahnya. Sedangkan selama ini, Mysara selalu berkongsi apa saja pengalaman yang dirasainya. Setiap masalah dikongsi dengan Balkish. Baik masalah sekolah mahupun peribadi.
Mysara sudah mempertaruhkan sepenuh kepercayaannya terhadap Balkish.
Dia tahu Balkish Batrisya merupakan seorang sahabat sejati yang tidak akan sewenang-wenangnya menceritakan hal peribadi mengenai dirinya kepada orang lain.
“Hmm...okay! Kalau macam tu, kita buat perjanjian! Mulai hari ni, takkan ada lagi sebarang rahsia antara kita. Setiap masalah kita kena kongsi dan selesaikan bersama. We’ll share all the problems as bestfriends, and solve it together as bestfriends! Okay?”
Balkish bersuara memberikan idea bernasnya.
“Okay, aku setuju! Janji ek?”
“Janji!”
Kedua-dua mereka berpelukan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Balkish dan Mysara memang rapat. Memandangkan kedua-duanya anak tunggal dalam keluarga masing-masing, tidak hairanlah kalau mereka sudah menganggap hubungan mereka seperti adik-beradik.
Balkish mula mengenal Mysara sejak di bangku sekolah rendah lagi. Syukurlah, mungkin disebabkan jodoh mereka berdua ini masih panjang, kedua-duanya dapat meneruskan persekolahan di peringkat menengah bersama-sama.
Apabila Mysara telah kehilangan ayahnya akibat kemalangan jalan raya semasa berumur 11 tahun, Balkish lah yang menjadi pendorong untuk menaikkan semangatnya bagi meneruskan kehidupan selain daripadanya ibunya sendiri. Saat Mysara mula berputus asa, hanya ibunya dan Balkish yang sentiasa berada di sampingnya. Tidak jemu untuk terus memberikan sokongan setiap masa walaupun dia dan Balkish mempunyai status yang jauh berbeza.
Balkish boleh dikatakan hidup dalam keadaan yang serba cukup.
Sementara Mysara, hanyalah anak seorang peniaga kecil-kecilan yang menyimpan cita-cita untuk mengubah nasib keluarganya.
Namun, Balkish tidak pernah membangkitkan soal status dalam persahabatan mereka. Padanya, semua manusia di muka bumi ini adalah sama dan tidak dapat dibezakan berdasarkan status duniawi semata-mata.
Dua tahun selepas kematian ayah Mysara, ibunya pula disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam sistem pendarahannya. Setelah kejadian tragis itu berlaku, Mysara menetap bersama makciknya yang merupakan pemilik kepada sebuah gerai.
Kalau hari ini Arini Mysara masih dapat menyambung pelajarannya dan bakal merangkul kejayaan satu hari nanti, semua itu adalah atas ihsan dan belas kasihan satu-satunya saudara yang dimiliki Mysara iaitu makciknya. Mujur perniagaan kecil-kecilan kepunyaan makciknya bertambah maju mengikut peredaran waktu hingga mampu membangunkan perniagaan daripada sebuah gerai kepada sebuah restoran. Syukurlah. Sekarang, kehidupan mereka tidak lagi sesusah dulu.
Walaupun hatinya begitu sayu mengenangkan takdir yang dihadapinya, hidup perlu juga diteruskan. Malahan, dugaan inilah yang mendorong Mysara untuk menjadi lebih matang. Dia juga tidak mempunyai kesukaran untuk menerima segala ketentuan kerana Balkish sentiasa bersama. Selalu ada bersamanya.
Keazaman dan kecekalan seperti inilah yang sering membuatkan Balkish Batrisya mengagumi sahabat baiknya itu.
“Aduh!”
Mysara tiba-tiba mengaduh.
“Kenapa Sara?” cepat Balkish bertanya.
“Kepala aku sakit sikit. Rasa macam nak demam je. Dari pagi lagi, lupa pulak aku makan ubat. Ni sebab aku kelam-kabut pergi sekolah lah tadi.”
“Ish... ish... kau ni! Kalau macam tu, mana pengumuman tadi? Biar aku je yang sampaikan.”
Mysara menghulurkan kertas kecil yang diberikan Adam Fariz sebentar tadi. Balkish merenung kertas itu.
Perjumpaan pengawas sidang pagi.
Masa: 12.40 p.m, selepas sesi persekolahan
Tempat: Bilik Badan Disiplin SMKDPA
Arahan: Ketua Guru Displin
TERIMA KASIH!!
Balkish mengeluh.
Adoi! Lambat lagilah aku balik hari ni...

No comments:

Post a Comment