Monday, August 23, 2010

6

Pukul 9.30 p.m.
“Kesian juga saya tengok Balkish tadi, bang. Risau pula saya tengok dia sedih.”
Sharifah Shamsiah bersuara sambil melihat suaminya yang masih tekun membaca dokumen-dokumen penting syarikat di meja kerjanya. Perlahan-lahan Sharifah Shamsiah melabuhkan punggung di katil setelah itu.
Menunjukkan riak kerisauan pada mukanya.
Bilik tidur Syed Adam dan Sharifah Shamsiah masih lagi terang-benderang. Kebiasaannya, lampu hanya tertutup pada pukul 10.30 malam. Itu pun setelah Syed Adam puas meneliti semua dokumen penting syarikatnya.
“Bang, dengar tak apa saya cakap tadi?”
Sharifah Shamsiah menegur suaminya buat kali kedua setelah menyedari bahawa suaminya tetap membisu sambil pandangannya masih utuh melihat dokumen-dokumen tadi.
Syed Adam menutup semua dokumen tersebut. Dia kemudiannya berlalu ke katil dan duduk bersebelahan dengan isterinya.
“Saya dengar apa awak cakap tadi. Awak janganlah terlalu risau sangat dengan Balkish.”
Syed Adam cuba menenteramkan hati isterinya.
“Tapi saya rasa tak sedap hati pula kalau terus tengok dia buat muka monyok macam tu. Bukan abang tak tahu, setiap kali kita sebut pasal Syed Firdaus, macam tu lah jadinya!” Sharifah Shamsiah tetap menzahirkan kerisauannya. Berfikir tentang anak daranya itu membuatkan satu keluhan panjang lahir dari bibirnya.
“Shamsiah, kita berdua kan memang tahu, dari dulu lagi Balkish memang macam tu. Ni bukan kali pertama dia tak senang pasal hal pertunangan ni. Dah lah, awak tak payah risau ya...”
Cukup tenang Syed Adam berbicara.
Namun, bicara Syed Adam masih tidak dapat mengawal kerisauan Sharifah Shamsiah. Isterinya itu hanya diam membisu.
“Abang rasa, patut tak kita beritahu Balkish hal yang sebenar?” tiba-tiba Sharifah Shamsiah bersuara semula.
“Ish, awak ni. Kita kan dah berjanji dengan Along takkan beritahu Balkish perkara yang sebenar sampailah tiba masa yang sesuai.”
Ayat Sharifah Shamsiah sebentar tadi menyebabkan Syed Adam mengerutkan keningnya.
“Tapi, sampai bila kita nak sembunyikan hal yang sebenar daripada Balkish, bang? Sekarang Balkish tu ingat yang kita ni nak paksa dia bertunang dengan Syed Firdaus. Karang budak tu lari dari rumah, macam mana?” tukas Sharifah Shamsiah.
“Astaghfirullahalazim! Awak ni Shamsiah, sampai ke situ pulak!”
Syed Adam sedikit terkejut mendengar luahan isterinya. Menyambung ayatnya setelah itu.
“Takkan awak tak kenal anak kita tu. Selama ni, ada dia buat sesuatu yang menyusahkan kita?” Syed Adam bertanya lembut.
Sharifah Shamsiah menggeleng. Tanda jawapan bagi soalan suaminya.
“Pernah dia sakitkan hati kita?” Syed Adam bertanya lagi.
Jawapan Sharifah Shamsiah masih lagi sama.
“Habis tu, apa yang buatkan awak terfikir yang Balkish tu nak lari dari rumah hanya disebabkan hal pertunangannya dengan Syed Firdaus?”
Sharifah Shamsiah hanya membisu. Tersedar bahawa fikirannya sudah terlalu jauh menyimpang. Mujur ada suaminya yang mengingatkan.
Perlahan Sharifah Shamsiah menyapa suaminya,
“Habis tu, sekarang ni apa yang kita kena buat, bang?”
“Kita serahkan semuanya pada Allah s.w.t. Tiba masanya, saya sendiri yang akan beritahu Balkish perkara yang sebenar.”
Syed Adam berkata sambil memegang bahu isterinya.
Sharifah Shamsiah mula mengukir senyum. Hatinya sudah lega sedikit mendengar bicara Syed Adam.
“Kalau macam tu, saya nak keluar sekejap. Tengok Balkish dekat bilik dia. Entah-entah masih merajuk lagi tu.”
“Hmm... awak pergi lah tengok dia,” Syed Adam memberikan keizinan.
Sharifah Shamsiah bangun lalu berjalan keluar dari bilik mereka.
Tiba di hadapan bilik tidur puterinya, pintu itu diketuk.
“Balkish... Balkish...”
Suaranya lembut memanggil Balkish. Tiada sebarang jawapan.
Merajuk lagi lah ni agaknya...
Pintu bilik itu dikuaknya.
Lampu masih lagi terpasang. Namun, sebaik sahaja dia mengalihkan pandangan ke katil, dilihatnya Balkish sudah pun melelapkan mata, lena dibuai mimpi. Dia menghampiri Balkish dengan senyap. Takut kalau gadis itu terjaga nantinya.
Lama dia memerhatikan wajah polos anak gadisnya itu. Dalam ketenangan suasana, dia sangat bersyukur kepada TUHAN kerana telah mengurniakan cahaya mata yang cukup membahagiakan dirinya dan suami. Begitu lama pasangan itu menantikan seorang cahaya mata sebelumnya. Akhirnya, setelah lima tahun hidup bersama, dianugerahkan juga sebutir permata untuk keluarganya itu.
Sejak kelahiran Balkish lah, keluarga Syed Adam semakin harmoni. Walaupun hanya gadis itu yang merupakan satu-satunya waris Syed Adam, mereka benar-benar berterima kasih kepada Sang Pencipta. Tidak pernah mengharapkan lebih daripada itu.
Kalau dipanjangkan umur, ingin sekali dia melihat Balkish berada di jinjang pelamin, bersanding bahagia bersama pasangannya sebagaimana yang pernah dilaluinya bersama Syed Adam dulu. Ingin sekali juga dia menyandang gelaran nenek kepada cahaya mata Balkish pula.
Mudah-mudahan saja kesempatan masih ada untuknya.
Tersedar daripada melayan fikirannya, rambut Balkish diusap-usap. Sharifah Shamsiah berbisik perlahan.
“Maafkan mama, sayang. Mama masih belum dapat menerangkan hal yang sebenar sekarang. Satu hari nanti, Balkish akan tahu juga. Selamat malam, puteriku. Semoga dibuai mimpi yang indah.”
Setelah itu, dia mengucup dahi Balkish dengan penuh kasih dan berlalu pergi.

No comments:

Post a Comment