Pukul 10.02 p.m.
Adam Fariz masih tegak menghadap komputer riba jenama Acer di hadapannya walaupun malam sudah begitu lama melabuhkan tirai.
Bukan komputer riba itu yang dijadikan tumpuan. Adam Fariz lebih kepada melayan perasaannya sendiri. Secawan Nescafe di atas mejanya itu masih tidak diteguk walau sedikit pun. Sendirian, dia termenung.
Wajah Sharifah Balkish Batrisya masih tidak dapat dilenyapkan dari ingatannya hingga kini.
Dia sendiri tidak tahu mengapa setiap kali berhadapan dengan gadis itu, mulutnya secara automatik pasti akan mengeluarkan kata-kata romantis! Matanya pula tidak akan lepas daripada terus memandang wajah gadis comel itu.
Adam Fariz masih teringat akan peristiwa tengah hari tadi. Peristiwa di mana mulutnya tiba-tiba mengatakan “aku suka sangat bila tengok kau marah” di hadapan Balkish secara tidak sengaja. Tidak cukup dengan itu, dikatakannya Balkish comel pula!
Biasanya setiap kali dia berhadapan dengan gadis-gadis di sekolah, kata-kata romantis dan pujian memang sengaja dilemparkan. Kasanova lah katakan!
Tapi itu dulu... sebelum dia merasakan sesuatu yang aneh terhadap gadis bernama Balkish.
Sekarang, cuma Balkish seorang saja yang dikejarnya ke sana dan ke mari.
Semuanya bermula sewaktu Karnival Sukan Tahunan sekolahnya diadakan pada awal tahun ini.
Adam Fariz merupakan salah seorang daripada atlet untuk acara larian 400 meter. Balkish pula bertugas sebagai salah seorang anggota Unit Kecemasan waktu itu.
“PERHATIAN kepada semua peserta yang terlibat untuk acara larian 400 meter kategori lelaki menengah atas, anda diminta untuk bergerak ke posisi masing-masing kerana acara akan dimulakan sekarang.”
Mendengar pengumuman yang disampaikan oleh guru bertugas melalui pembesar suara, Adam Fariz segera mengambil posisinya di tengah padang .
Kedengaran begitu riuh suasana padang sekolah yang diisi dengan laungan semangat para penyokong setiap rumah sukan.
Sebaik sahaja siren dibunyikan, semua atlet memecut pada laluan sepanjang 400 meter.
Adam Fariz kini mendahului pelari yang lain. Macam pelesit!
Tidak dinafikan bahawa Adam Fariz hampir sempurna dari setiap segi.
Rupa parasnya kacak, tergolong dalam pelajar cemerlang sekolah, dan merupakan antara atlet kegemaran guru penasihat rumah sukannya, rumah sukan Tun Teja. Sudah tiga tahun berturut-turut lelaki itu menggondol pingat emas dalam acara sukan yang disertainya.
Namun, entah kenapa... hari itu tiba-tiba satu kemalangan telah berlaku. Tidak diketahui puncanya.
Satu kemalangan yang seakan-akan telah dirancang oleh takdir hidupnya untuk mempertemukan dan mendekatkannya dengan seseorang...
Sedang Adam Fariz menderaskan lagi langkahnya, tiba-tiba kakinya terasa kejang! Pandangannya pula mula kabur.
Saat itu juga dia jatuh tertiarap di padang itu!
Lengannya tercedera akibat tergeser kuat dengan permukaan tanah semasa jatuh.
Anggota Unit Kecemasan pantas bertindak membawa Adam Fariz ke salah sebuah pondok kecemasan.
“Tepi! Tepi semua! Jangan berkerumun di sini!” marah Cikgu Saidah yang bertugas di pondok kecemasan apabila melihat ramai murid yang mengelilingi Adam Fariz.
Balkish yang berada di pondok kecemasan itu juga tidak ketinggalan melihat Adam Fariz.
Tenang guru itu memeriksa luka yang dialami muridnya.
Tiba-tiba...
“Cikgu, ada dua orang lagi murid yang pengsan di pondok sebelah!” seorang murid datang menyergah.
“Aik, budak lelaki pun pengsan jugak! Hairan aku! Hah, yalah kejap lagi aku, err... Cikgu akan ke sana bersama Cikgu Rosli.”
Cikgu Saidah mula kelihatan bingung.
Kenapa tahun ni banyak pulak pengunjung pondok kecemasan? Hei, budak-budak ni! Tak kuasa aku...
Cikgu Saidah mengomel dalam hati.
Dia melihat sekeliling dan terpandang Balkish Batrisya yang tercegat di satu sudut.
“Ha, Balkish! Awak tolong uruskan Fariz sekejap. Cikgu nak ke sebelah.”
Guru itu mengatur langkah ke arah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari pondok kecemasan. Cikgu Saidah membisikkan sesuatu kepada lelaki itu. Tidak beberapa lama kemudian, lelaki itu memegang tangan Cikgu Saidah dan bergerak bersamanya ke arah pondok yang satu lagi. Balkish hanya memerhati Cikgu Saidah dari pondok kecemasan. Tersenyum kecil.
Pegang-pegang pun, Cikgu Rosli tu laki dia jugak! He... he...
Senyuman gadis itu terhenti apabila mengingatkan arahan gurunya sebentar tadi. Spontan saja Cikgu Saidah memberi arahan kepada Balkish untuk merawat Fariz.
Kenapa aku pulak yang kena rawat dia? Ish! Tak ada hati aku nak tolong mamat perasan tu! Simpang malaikat empat puluh empat! Lagi bagus dia dok baring terlentang kat situ! Biar padan muka! Tu kena hukum karma lah tu! Siapa suruh nak menggatal sangat dengan semua perempuan kat sekolah! Hah, tanggung lah balasan kau kat situ!
Sesungguhnya, Balkish memang menyampah sekali dengan makhluk yang bernama Adam Fariz itu!
Dia begitu geram dengan perangai lelaki itu yang suka menggatal tak kira di mana jua! Dua tahun dia sekelas dengan lelaki itu dan rasanya memang itulah sifat semulajadinya. Menggatal! Kalau boleh, dia tidak ingin punya sebarang kaitan dengan Adam Fariz. Walaupun lelaki itu adalah rakan sekelasnya.
Apalagi mahu merawatnya!
Namun, disebabkan cuma dia seorang saja anggota unit kecemasan di pondok kecemasan ketika itu, terpaksalah dari lubuk hatinya yang paling dalam dia mengatakan,
“Fariz, mari aku tengok tangan kau yang cedera tu.”
Hanya TUHAN saja yang tahu betapa dia ingin melarikan diri daripada Adam Fariz waktu itu.
Adam Fariz membalas senyuman Balkish lalu menghulurkan tangannya yang tercedera.
Dengan hati yang maha berat bak ditindih dengan 44 buah kontena yang sarat dengan besi buruk, Balkish mengambil alih tugas gurunya untuk merawat Adam Fariz.
Masam wajahnya mengalahkan mangga mentah! Sesiapa yang menatap mukanya pasti boleh mengagak bahawa dia sedang mempamerkan muka ‘aku tak rela dengan semua ini’!
Pipinya pula sudah merah menahan rasa tidak puas hati terhadap arahan spontan gurunya tadi.
Perlahan dia membersihkan luka di tangan Adam Fariz. Tanpa kerelaannya!
Saat itu, Adam Fariz hanya duduk diam. Melunjurkan kakinya.
Diam menyaksikan setiap gerak-geri yang dilakukan oleh Balkish. Dia tidak tahu bahawa Balkish memang menyampah melihat mukanya!
Tiba-tiba, bagaikan ada bisikan halus yang menyambar otak Adam Fariz, menyuruhnya untuk melihat dengan lebih jelas gadis yang berada begitu dekat dengannya ketika itu.
Dua tahun dia bersama Balkish. Sekelas dengannya. Baru sekarang dia berpeluang untuk menyaksikan wajah gadis itu dengan lebih dekat.
Tanpa disedari Balkish yang sibuk merawat luka musuh ketat tidak langsungnya itu, Adam Fariz sudah jauh termenung memerhatikannya.
Baru sekarang aku perasan... Balkish ni cantik jugak rupanya...
Hmm... kulitnya putih gebu...
Mak aii! Mata dia... cantiknya... hitam pekat...
Pipi dia...he...he... comel! Sekali pandang macam warna pink!
Hidung dia pulak... boleh tahan!
Kening dia cantik tersusun... dia cukur ke?
Hmm... bibir tu...
Eh, apa aku buat ni?
Astaghfirullahalazim! Astaghfirullahalazim! Ya Allah! Aku dah berdosa ya Allah! Hish! Jahatnya mata aku nih!
Tanpa disedari Adam Fariz, kalimat istighfar itu sudah terkeluar sampai ke mulutnya!
“Astaghfirullahalazim! Astaghfirullahalazim!”
“Fariz, kenapa kau ni? Tiba-tiba je terus istighfar.”
Balkish menjadi hairan.
Heh... terkeluar sampai ke mulut rupanya... malunya aku! Macam mana aku boleh tak sedar? Ni sebab kau lah Balkish...
“Tak ada apa-apa. He... he... dah habis ke awak balut tangan saya?”
Adam Fariz cuba mengalih perhatian Balkish terhadap perlakuannya tadi.
“Sikit lagi... hmm... hah, dah siap!”
“Terima kasih, Balkish.”
“Sama-sama.”
Ucapan Balkish itu diselangi dengan muka monyoknya.
Macamlah aku nak sangat tolong kau! Kalau tak sebab Cikgu Saidah yang suruh, aku peduli apa kalau tangan kau patah sampai boleh pusing tiga ratus enam puluh darjah pun! Gasaklah kau kat situ!
“Kaki kau kejang lagi ke? Aku dah letak ubat tadi.”
Balkish menyambung perbualan. Perbualan yang tersangat mahu dielakkannya!
“Okay sikit kut!”
Adam Fariz menjawab. Diperhatikannya Balkish sekali lagi yang mengenakan uniform lengkap Persatuan Bulan Sabit Merah itu. Comel! Mengapa baru sekarang dia perasan? Itupun selepas dua tahun duduk bersama dalam satu kelas dengan Balkish.
Adakah ini bermakna, bukan setakat mata, tetapi hatinya juga telah dibukakan untuk melihat Balkish?
Balkish mula dilihatnya dari atas... dan perlahan-perlahan... ke bawah...
Adam Fariz tersenyum kecil.
Balkish yang tiba-tiba terpandang perlakuan Adam Fariz yang memandangnya pada...
“Aaaarrgghhh!”
Terus Balkish terjerit.
Terus Balkish terjerit.
BUK!
Sebiji penumbuk melayang ke mata kanan Adam Fariz. Senang baginya untuk menumbuk Adam Fariz yang masih duduk itu. Kalau lelaki itu berdiri, memang payah juga dia menzahirkan nawaitu nya itu.
“Aduh, sakitnya! Kenapa dengan awak ni?”
Adam Fariz menyapu perlahan matanya yang mendapat cenderahati percuma daripada Balkish.
“Kau ni memang! Dah sakit-sakit pun, sempat lagi nak menggatal! Tu pun kau nak pandang! GATAL!”
“Apa yang saya pandang?”
“Nak tanya aku lagi? Nah, ambik kau!”
Sebiji lagi penumbuk melayang ke mata kiri lelaki itu!
“Aduuh!”
Balkish merasa puas setelah kedua-dua penumbuknya mendarat di muka kasanova itu. Bagaikan berasap-asap kepalanya seperti steamboat mengenangkan perlakuan Adam Fariz.
Belum sempat dia meninggalkan Adam Fariz, lelaki itu sudah terlebih dulu memaut lengannya.
“Balkish! Tunggu dulu! Awak dah salah faham! Saya cuma tengok name tag dengan lencana awak je tadi!”
Adam Fariz memberi penjelasan kepada Balkish, tapi dengan nada suara yang sederhana. Takut kalau-kalau ada pula orang lain yang mendengar ayatnya itu. Nanti orang turut tersalah faham!
“Hey, apa pegang-pegang ni, hah? Kau ingat aku percaya cakap lelaki gatal macam kau?”
Saat itu juga Balkish menjerit sekuat hati.
“Tolong! Tolong! Cikgu, tolong saya! Tolooong!”
Cikgu Saidah yang berada di pondok sebelah bergegas ke pondok di mana Balkish dan Adam Fariz berada setelah mendengar jeritan gadis itu.
Adam Fariz sempat meleraikan pautannya pada tangan Balkish sebelum Cikgu Saidah sampai di situ.
“Balkish! Balkish! Ada apa nih? Kenapa awak menjerit?” pantas saja guru itu bertanya.
“Cikgu, ni hah! Fariz nih! Tadi dia cuba nak...” kata-katanya yang kedengaran cemas itu terhenti.
Nak bagi tahu ke tak yang Fariz pegang tangan aku? Kalau benda ni tersebar satu sekolah, macam mana? Adui, bagi tahu ke tak ni? Entah-entah esok satu sekolah heboh, LAPORAN SUKAN: SHARIFAH BALKISH BATRISYA DIPEGANG ATLET MIANG! Tak ke aku jugak yang malu?
“Balkish, kenapa? Fariz cuba nak apa?” Cikgu Saidah bertanya lagi setelah kata-kata muridnya itu terhenti tadi.
Adam Fariz pula tidak putus melihat Balkish. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa agar Balkish tidak melaporkan hal yang berlaku sebentar tadi.
Kalau Balkish lapor kat cikgu, habislah aku! Satu sekolah mesti heboh, ADAM FARIZ LELAKI PERABA! Silap-silap jadi headline majalah sekolah tahun ni! Malu aku nanti! Macho pun hilang, yang tinggal nanti hanyalah ‘hancho’. Eh, tapi tadi aku bukan raba dia, aku pegang tangan je, tu pun sebab nak tahan dia. Balkish ni pun satu, memang betul lah aku tengok name tag dia tadi. Dia ingat aku pandang apa? Tak faham aku perempuan yang satu ni.
Memang betul.
Adam Fariz memang hanya memerhatikan tanda nama Balkish tadi. Entah apa pula yang difikirkan gadis itu sampai dia menghadiahkan dua biji penumbuk kepada Adam Fariz.
Dia dapat membayangkan Balkish menunjuk-nunjuk tepat ke arah mukanya sambil berkata, LELAKI GATAL! LELAKI GATAL!
Tiba-tiba satu suara halus kedengaran di telinga Adam Fariz.
Ohh! Tak raba ya...habis yang kau renung Balkish tadi lama-lama tu? Itu pun meraba juga namanya. Tapi, Adam Fariz... kau lebih dahsyat dan sememangnya dahsyat! Seburuk-buruk peraba ialah yang meraba menggunakan tangan, tapi kau pula meraba menggunakan mata! Senyap-senyap lagi! Kau perhati Balkish lama-lama dan kau renung dia tanpa kerelaannya... Kau sepuluh kali ganda lebih teruk Adam Fariz! Kau peraba! Kau memang lelaki peraba! Adam Fariz, kau perabaaaaa!
Adam Fariz memegang kepalanya dan berteriak,
“Tidaaak! Tidaaaak! Aku bukan pe...”
“Heh, Fariz! Kamu ni pula kenapa? Tadi Balkish yang terjerit-jerit, sekarang kamu pulak! Apa halnya ni?” teriakan Adam Fariz sempat dipotong oleh dialog Cikgu Saidah. Guru itu sudah menjadi semakin bingung melayan kerenah anak-anak muridnya.
No comments:
Post a Comment