Monday, August 16, 2010

5

Pukul 2.07 p.m.
Balkish menghempaskan diri pada tilam empuk miliknya. Melihat siling. Mendengus kecil.
Hatinya masih sakit memikirkan perlakuan Adam Fariz yang sudah melebihi batas kesabarannya!
Lelaki gatal itu perlu diajar! Aku tak boleh biarkan dia terus kacau aku!
Tapi persoalannya... beranikah aku?
Balkish mengalihkan pandangan ke arah koleksi DVD anime yang dipunyainya. Gadis itu sangat suka mengumpul anime bersiri dari negara Jepun. Boleh dikatakan hampir semua anime yang pernah dipaparkan di skrin televisyen sudah menetap di rak DVD anime nya. Macam-macam ada!
Naruto, Vampire Night, Mobile Suit Gundam Seed Destiny, Colourcloud Palace, Alice Academy, dan anime yang paling diminatinya antara semua anime, Special A Class!
Mengingatkan anime Special A Class yang menceritakan kisah hampir sama seperti yang berlaku antara dirinya dengan Adam Fariz sekarang membuatkan bulu roma pada tengkuknya meremang! Seperti ada Maya Karin di belakangnya! Yii...
Dipendekkan cerita, Special A Class menceritakan kisah tujuh pelajar terbaik sebuah sekolah swasta. Antaranya ialah Takishima Kei sebagai hero dan Hanazono Hikari sebagai heroin. Pada mulanya, Hikari sangat meluat dengan Kei sebagaimana Balkish meluat dengan Adam Fariz. Namun, lama-kelamaan Hikari akhirnya jatuh cinta terhadap Kei. Adakah Balkish juga bakal mempunyai perasaan yang sama?
Balkish kembali melayan bicara hatinya.
Macam mana kalau satu hari nanti apa yang Mysara cakap tadi jadi kenyataan? Macam mana kalau memang betul aku akan terlanjur suka Fariz sebagaimana Hikari jatuh cinta dengan Kei dalam ‘Special A Class’ tu kalau terus biarkan dia kacau aku? Macam mana kalau aku betul-betul suka dia sama macam semua perempuan yang dia pernah sakat tu?
Hatinya tidak berhenti berteka-teki.
Huh! Tak mungkin! NO WAY!!! NEVER EVER!!
Tu kan cerita kartun, mana boleh samakan dengan hidup aku...
Hmmm...
Ya Allah, mengapa lah jalan hidupku perlu dipertemukan dengan seorang kasanova?
Kenapa tahap kesabaranku perlu diuji dengan perangai mamat perasan tu? Adoi, rasa seksa pulak kalau macam ni terus!
Puas melayan hati yang berbicara, Balkish mencapai tuala biru kepunyaannya dan berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.
Setelah itu, segera dia menunaikan solat Zohor yang tidak dapat dikerjakan lebih awal kerana perjumpaan pengawas di sekolah tadi.
MALAM itu, Datuk Syed Adam beserta keluarganya sudah duduk di meja makan menikmati hidangan makan malam yang disediakan.
“Papa ada hal nak bincang dengan Isya.”
Pendek Syed Adam menegur Balkish Batrisya.
“Apa dia papa?”
“Tadi Mak Long kamu telefon. Dia bertanyakan kamu. ”
Tiba-tiba air muka Balkish yang sebelumnya semanis madu bertukar menjadi gula-gula Sour Plus yang akan terus masam sampai bila-bila!
Ni mesti nak mula buka cerita pasal topik aku paling pantang.
Ada hal penting ke, papa?”
“Erm, Mak Long sempat berbincang dengan papa dan mama.”
Syed Adam meneguk segelas air. Kemudian menyambung lagi.
“Tentang kamu dengan Syed Firdaus.”
Muka Balkish sudah tidak ubah seperti tempoyak basi!
“Pa, boleh tak kalau kita bincang benda ni lain kali? Kan Isya dah kata, Isya tak nak bertunang lagi. Isya kan masih belajar, pa.”
Gadis itu meluahkan rasa tidak puas hatinya. Namun, suaranya masih tetap bernada lembut.
“Isya, mama dengan papa bukan nak tunangkan kamu dengan Syed Firdaus sekarang, tapi lepas kamu habis exam nanti.”
Tenang Sharifah Shamsiah berbicara.
Banyak-banyak topik yang dibicarakan, topik pertunangan inilah yang sangat tidak digemari anak gadisnya. Sejak akhir-akhir ini, Syed Adam dan Sharifah Shamsiah begitu kerap membangkitkan hal pertunangan Balkish dengan Syed Firdaus. Balkish sendiri juga tidak pasti apa sebabnya.
Walaupun diam seribu bahasa, otak gadis itu tetap ligat berfikir. Dengan lingkungan usianya yang masih muda itu, takkanlah dia hendak menyandang title tunang orang! Hancur berderai sahamnya nanti!
Musnah segala impiannya untuk merasai sendiri kisah-kisah cinta yang dibaca dalam novel sebelum ini!
“Mama, Isya tak nak bertunang awal-awal ni. Bagi tahu je lah Mak Long dengan Pak Long tu, kalau nak sangat tengok Firdaus bertunang, tunangkanlah dengan orang lain. Kenapa pulak nak melarat-larat ditunangkan dengan Isya? Banyak kali dah Isya kata, Isya tak nak, papa.”
“Balkish!”
Pengakuan berani mati Balkish itu nampaknya sudah menaikkan kemarahan papanya!
Balkish yang tersedar bahawa dia sudah bertindak kurang sopan di hadapan orang tuanya itu segera menundukkan mukanya.
“Isya minta maaf, papa, mama, Isya tak ada niat nak melawan cakap papa dengan mama.”
Tetap tunduk. Tidak berani mengangkat mukanya menentang Syed Adam dan Sharifah Shamsiah. Sungguh, tidak terniat dia untuk meninggikan suara.
Balkish berkali-kali beristighfar dalam hati kerana perbuatannya itu.
Perkara yang paling menakutkan dalam hidup baginya ialah menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapa. Tidak hidu bau syurga kalau jadi anak derhaka! Apalagi menjejakinya.
Dia boleh bersifat kasar terhadap mana-mana orang yang menyakiti hatinya tetapi tidak sekali-kali ibu bapanya. Walaupun mereka mungkin akan memaksanya berkahwin terus dengan Syed Firdaus, bukan setakat bertunang.
“Sayang, mama dan papa faham perasaan Isya. Kami tak paksa kamu berdua bertunang sekarang, kan? Cuma apa salahnya kalau Isya cuba rapat dengan Syed Firdaus lagi sama macam dulu? Ambil masa untuk berfikir. Kami takkan paksa Isya bertunang dengan dia kalau Isya tak nak tapi cuma satu saja yang mama minta, ambillah peluang sekali lagi untuk kenal dia dengan lebih dekat. Ya sayang?”
Sharifah Shamsiah berbicara dengan lembut. Tidak akan selesai masalah itu dengan kekerasan.
Dia tahu, Balkish juga tidak berniat untuk meninggikan suara kerana selama ini, belum pernah anak daranya itu melakukan sesuatu perkara yang boleh menyakitkan hati suaminya dan dirinya sendiri. Apalagi melawan cakap mereka!
Memang benar Balkish dibesarkan dalam suasana yang mewah. Namun, ibu bapanya tetap tidak lupa untuk menerapkan asas pengetahuan agama untuk panduan hidup anak gadis mereka yang satu itu. Kerana itulah, betapa manjanya pun Balkish Batrisya terhadap kedua orang tuanya, batas kesopanan tetap dijaga. Cuma kadang-kadang barannya agak sukar dikawal apabila sampai kepada tajuk perbincangan PERTUNANGAN!
Balkish hanya diam. Tidak memberikan sebarang respon. Dalam hati dia berasa lega mamanya berbicara demikian. Itu bermakna, orang tuanya masih belum mencapai tahap ingin memaksa dirinya untuk bertunang dengan Syed Firdaus.
SELEPAS makan malam, Balkish terus masuk ke biliknya.
Masih dirundung rasa bersalah terhadap Syed Adam dan Sharifah Shamsiah walaupun mereka telah memaafkan perbuatannya tadi.
Ni semua Syed Firdaus punya pasal...
Berbaring di atas katil, Balkish melihat siling lagi. Memikirkan kesudahan ceritera pertunangannya dengan Syed Firdaus. Sepupunya itu!
Agaknya siling juga sudah jemu melihat muka cemberutnya.
Walaupun Syed Firdaus adalah sepupunya, namun sudah lama dia tidak melihat wajah yang ingin ditunangkan dengannya itu.
Sejak kecil lagi, Syed Firdaus sudah dihantar belajar ke luar negara oleh Mak Long dan Pak Long. Tinggal bersama Mak Su dan Pak Su nya yang sudah bermastautin di Melbourne, Australia.
Seingatnya, kali terakhir dia bertemu dengan Syed Firdaus, sepuluh tahun yang lalu. Semasa dia dan Syed Firdaus berumur tujuh tahun.
Setelah itu, tidak pernah langsung dia menghadap muka Syed Firdaus.
Agaknya dia dah jadi orang putih kat sana. Entah-entah aku pun dia tak ingat lagi. Syed Firdaus, macam manalah agaknya rupa kau sekarang? Makin handsome atau...he...he...
Bila difikir-fikir, perlukah aku terus berbohong dengan perasaan aku sendiri? Depan mama dan papa kata tak suka! Tak mahu! Tak nak! Tapi dalam hati...
Tiba-tiba wajah Syed Firdaus yang dikenalinya dulu mendatangi mindanya.
Aah! Tak boleh! Tak boleh!
Kalau aku bertunang dengan dia, mesti confirm kahwin! Yii... tak nak lah aku kahwin dengan sepupu-sepapat! Lagipun, kan ke tak berapa afdhal kalau berkahwin dengan saudara dekat ni...
Dulu semasa kecil, memang dia begitu rapat dengan Syed Firdaus. Seperti yang dikatakan mamanya. Asal bermain mesti bersama.
Namun, sekarang tidak lagi.
Walau bagaimanapun, setiap perkara yang pernah dilakukannya bersama lelaki itu suatu ketika dahulu masih utuh dalam ingatannya. Termasuklah satu perkara.
Perasaannya terhadap lelaki itu!
Terkejut?
Ya. Syed Firdaus lah cinta pertamanya.
Cinta seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang melarat hingga kini! Persoalannya, bolehkah seorang kanak-kanak merasakan cinta?
Mungkin semuanya disebabkan Syed Firdaus saja satu-satunya lelaki yang dikenalinya semasa kecil. Tidak termasuk papa dan pakcik-pakciknya.
Namun, bolehkah perasaan yang dialaminya semasa berusia tujuh tahun itu dikatakan cinta? Budak-budak bukannya tahu apa-apa pun.
Lebih-lebih lagi pasal cinta!
Tapi kalau bukan cinta, apa yang menyebabkan Balkish tidak pernah melupakan wajah si kecil Syed Firdaus yang berusia tujuh tahun pada saat lelaki itu pergi meninggalkannya?
Apa yang menyebabkan Balkish merinduinya sehingga kini? Itupun dalam diam...
Memang Syed Firdaus pernah mencuri perhatiannya. Namun, itu bukanlah satu alasan yang boleh dijadikan greenlight oleh papa dan mamanya untuk menjadikan Syed Firdaus sebagai tunangnya.
Lagi pula, Syed Adam dan Sharifah Shamsiah bukannya tahu pun perasaan anak tunggal mereka terhadap Syed Firdaus.
Mungkin dah sampai masanya untuk aku lupakan apa yang aku rasa. Tapi... patutkah aku lupakan dia?
Balkish Batrisya menggenggam jari. Masih melayan bicara hatinya.
Sudah lama rasanya dia cuba melupakan rayuan hati untuk kembali menemui Syed Firdaus. Sejak dia dan keluarganya berpindah dari Kuala Lumpur ke Sabah iaitu dua tahun selepas dia mula memasuki sekolah rendah, ingatan terhadap Syed Firdaus cuba dihapuskan. Namun, hasilnya tetap gagal.
Waktu itu, kegelisahan menyelubungi perasaannya buat seketika.
Dalam kesepian dan kedinginan malam yang menggila, tiba-tiba wajah Adam Fariz menerjah otaknya! Kedinginan yang dirasai bertukar panas - sekadar melambangkan betapa panasnya hati Balkish Batrisya terhadap lelaki kurang siuman itu!
Geram tahap gaban menguasai dirinya semula.
Ah, daripada aku melayan sakit hati yang macam bara api ni sebab dia, baik aku buka buku!
Balkish bergerak ke meja belajarnya dan mula mengulang kaji subjek Matematik Tambahan yang dipelajarinya di sekolah tadi.
Sudah menjadi rutin seharian bagi dirinya untuk belajar pada waktu petang dan malam sebelum tidur.
Walaupun hidupnya kini diselubungi pelbagai ragam masalah, namun Balkish tidak akan membenarkan hal sebegitu merosakkan rekod akademiknya sebagai pelajar cemerlang sekolah.
SELESAI mengulang kaji pelajaran, Balkish menuju ke katil. Bersiap-sedia untuk melelapkan mata.
Mengimbas kembali masalah-masalah yang berlaku pada dirinya hari ini mengingatkannya kepada Mysara.
Baik aku bersembang dengan Mysara! Boleh jugak mengadu kat dia. Sekurang-kurangnya, ringan sikit kepala aku.
Balkish mengambil telefon bimbit Sony Ericsson model W710i di atas meja. Jarinya ligat menekan nombor pada telefon bimbit itu.
“Assalamualaikum.”
Suara Mysara kedengaran di hujung talian.
“Waalaikumsalam. Kau dah mengantuk ke?” Balkish memulakan perbualan.
“Belum lagi. Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena?”
“Semuanya tak kena! Sakit otak aku ni nak fikirkan semua benda.”
Balkish teringat akan keinginan papa dan mamanya untuk menunangkannya dengan Syed Firdaus. Kepalanya semakin berserabut apabila memorinya digasak pula dengan peristiwa yang melibatkan Adam Fariz tengah hari tadi.
“Pasal Fariz ke? Arini Mysara cuba mengagak.
“Ikan sepat tu memang sah-sah dah jadi masalah besar dalam hidup aku, tapi sekarang aku nak cerita tentang hal yang lagi penting. Pasal pertunangan aku dengan sepupu aku kat oversea tu.”
Mereka berdua menyepi seketika di hujung talian.
“Hmm... pasal hal pertunangan tu aku nak tanya sikit. Papa dengan mama kau paksa ke kau bertunang dengan err... siapa nama tunang kau tu?”
“Syed Firdaus. Bukan tunang lah, bakal tunang.”
“Hah, ya lah dia tu...”
Mysara mula menunjukkan minat terhadap topik yang mereka bincangkan pada waktu itu.
Parents aku tak paksa tapi mereka memang nak sangat aku bertunang dengan Syed Firdaus. Mentang-mentang lah kita orang kenal sejak kecil lagi.”
“Kau suka dia?”
“Suka siapa?”
“Bakal tunang kau tu.”
Aik! Mysara ni macam tahu-tahu je...
“Aku tak tahu. Tapi aku rasa aku suka. Eh, kejap! Kejap! Aku rasa aku tak suka dia lah!”
Mysara tergelak mendengar pengakuan sahabatnya. Pengakuan yang lahir daripada sekeping hati yang penuh kesangsian.
“Cara kau bercakap macamlah tunang kau tu kuih-muih kat bazaar Ramadhan. Boleh pilih suka ke tak suka.”
“Excuse me! Bakal tunang okay!
“Oops! Lupa pulak aku...he...he... err... macam ni lah. Apa kau rasa bila kau tengok muka dia? Maksud aku... kau gementar tak bila berdepan dengan dia?”
“Hmm... yang itu, aku susah sikit nak jawab. Sebab dah lama aku tak nampak muka dia. Tak silap kira... lebih kurang sepuluh tahun aku tak jumpa dia. Sejak dia belajar kat Melbourne...”
“Kau rasa kau ada apa-apa perasaan ke untuk dia?”
“Sejak dia bertolak ke luar negara, itulah kali terakhir aku nampak dia. Tapi yang peliknya, aku masih tak dapat lupakan wajah dia. Wajah Syed Firdaus yang comel tu.”
Arini Mysara mendengar dengan teliti pengakuan sahabatnya.
Balkish menyambung.
“Jujur, setiap masa dalam hidup aku tak pernah lepas daripada berfikir tentang dia walaupun aku sendiri tak pasti yang dia masih ingatkan aku di sini atau dah tak ingat pun. Tapi aku tak kisah. Aku rasa rindu aku terubat bila cuba fikir pasal dia.”
Balkish mula teringat akan kenangan manis bersama Syed Firdaus. Tidak dapat dipastikan sama ada dia masih bercakap dengan Mysara atau melayan perasaannya sendiri.
“Rindu? Isya, kau sebut rindu ke tadi?”
Balkish tersentak mendengarkan suara Mysara yang agak kuat, terkejut mendengar perkataan yang terkeluar dari mulut Balkish.
“Hah, aku sebut apa tadi?” Balkish terkial-kial.
“Kau sebut rindulah.”
“Tak! Aku tak sebut pun! Kau salah dengar kut!” Balkish cuba mengelak.
“Balkish, line handphone aku ni full bar, kau tahu? Takkan aku salah dengar.
“Aku sebut rindu tadi?”
“Yalah.”
“Rindu?”
“Ya! Kau ni, balik-balik tanya aku soalan yang sama je. Hah, tu lah dia! Simptom awal penyakit angau!”
Talian menyepi seketika. Setelah itu, kedengaran Balkish mula mengatur bicara.
“Kau rasa aku suka Syed Firdaus ke?”
“Aku rasa positif. He...he... tapi kalau betul kau suka dia, kenapa kau tak nak bertunang dengan dia pulak?”
Mysara bingung memikirkan cara pemikiran sahabatnya itu berfungsi.
Ada banyak sebab, tapi sebab paling utama ialah, aku tak nak tahap IQ anak aku rendah nanti.”
“Err...kau cakap apa ni Isya?” Mysara terpinga-pinga mendengar ucapan Balkish. Kurang faham dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Balkish.
“Kau tahu tak, menurut kajian yang dijalankan oleh para saintis, seseorang yang berkahwin dengan saudara mara terdekat contohnya sepupu, anak yang dilahirkan nanti akan rendah tahap IQ!”
“Hish! Kau ni!”
“Kau ingat aku main-main ke?”
“Balkish...Balkish... sebab tu je kau nak sembunyikan perasaan kau sendiri? Dengar sini ek, tak semestinya kalau kau kahwin dengan sepupu, terus dapat anak IQ rendah! Tu semua kuasa Allah! Silap-silap anak kau jadi genius pulak nanti, siapa tahu kan?”
Balkish pula yang diam mendengar penerangan Mysara.
“Sebab tu lah, kita sebagai hambaNya perlu sentiasa beribadat dan berdoa kepadaNya agar dikurniakan dengan segala kebaikan dan dijauhkan daripada segala keburukan. Faham tak?”
“Faham. Faham.”
Balkish diam sebentar. Cuba memproses kebenaran kata-kata Arini Mysara sebentar tadi. Suaranya kedengaran kembali di talian.
“Hmm... terima kasih ya Sara. Terima kasih banyak sebab jadi pendengar setia aku walaupun aku ganggu kau malam-malam buta ni. Terima kasih jugak atas nasihat-nasihat bernas kau tadi tu ek! Kalau kau tak ada, tak tahulah aku nak mengadu kat siapa...”
Mysara tergelak mendengarkan pujian Balkish. Bersuara setelah itu.
“Kau tak boleh bergantung sangat dengan aku ni. Kalau aku tak ada nanti, kau pulak yang seksa! He...he...”
Mereka sama-sama tergelak. Usai mengucapkan selamat malam, Balkish memutuskan talian. Dia cuba melelapkan mata. Namun, sekali lagi fikiran gadis itu membawanya kembali ke alam pertanyaan.
Aku betul-betul suka ke dengan Syed Firdaus? Aku rasa... Aku memang suka dia...
Walaupun mata Balkish tertutup rapat, namun masih terukir senyuman kecil di bibirnya.
Datanglah dalam mimpiku... temuilah aku... Syed Firdaus...

No comments:

Post a Comment