Tuesday, October 19, 2010

9


Pukul 9.22 a.m.
“Balkish! Balkish! Tunggu dulu! Saya nak cakap dengan awak!”
Teriakan Adam Fariz langsung tidak dihiraukan oleh Balkish walaupun lelaki itu sudah mengikuti ‘tawaf’nya mengelilingi sekolah sebanyak tiga pusingan.
“Isya, berhenti lah kejap! Kesian aku tengok si Fariz tu.”
Arini Mysara yang turut mengikuti Balkish dari tadi cuba memujuk gadis itu untuk berhenti.
Lama juga adegan ‘berlari berkejaran’ itu berlangsung. Lebih separuh masa rehat.
Hadui... Balkish ni. Tak ingat nak makan ke? Dah lah perut aku ‘bergendang’ dari pagi tadi. Sekarang bawa aku lari-lari pulak! Cuba lah dia bawa berbincang dengan si Fariz tu...
Arini Mysara merungut dalam hati.
Tiba-tiba langkah kedua-dua gadis itu terhenti apabila Adam Fariz sudah berdiri tegak di hadapan Balkish!
“Fariz, tepi lah! Tak nampak ke aku nak lalu?” Balkish cuba melepasi tubuh Adam Fariz yang tinggi lampai namun percubaannya gagal.
“Saya perlu bercakap dengan awak. Pasal hal kita hari tu. Pasal perkara yang berlaku antara kita,” kata Adam Fariz.
Mysara membeliakkan biji matanya apabila mendengar ayat ‘pasal hal kita’ dan ‘perkara yang berlaku antara kita’ yang keluar dari mulut Adam Fariz. Sepantas kilat dia memandang Balkish.
Balkish yang mengerti bahawa sahabatnya itu sudah tersalah faham cepat-cepat menyangkal pemikiran gadis kecil molek itu.
“Sara, kau jangan salah faham pulak. Kau tak tahu apa yang dah jadi.”
“Masya-Allah! Apa yang kau orang berdua dah buat ni hah? Apa perkara yang berlaku antara kau orang?” Mysara berpura-pura mempamerkan muka yang sangat terkejut. Sebenarnya hanya bertujuan untuk menyakat orang berdua itu. Terutamanya Balkish.
“Kau orang dah...”
“Mysara!” serentak Adam Fariz dan Balkish memotong percakapan Mysara.
“Dah lah! Fariz, baik kau pergi! Menyampah aku nak tengok muka kau tau! Satu hal lagi yang perlu kau tahu, TIADA MAAF BAGIMU!”
Balkish terus menolak tubuh lelaki itu sekuat hati.
Akhirnya, Adam Fariz terpaksa akur dengan kehendak Balkish dan membiarkan Balkish dan Mysara meninggalkan dirinya. Boleh saja dia menahan tangan Balkish yang menolaknya namun dia takut kebencian gadis itu padanya semakin bertambah lagi.
Aduh! Pening kepala aku! Nak dekat dengan Balkish pun punya lah susah, apalagi nak cakap dengan dia. Macam mana aku nak jelaskan kedudukan yang sebenar kalau dia terus buat aku macam ni...
Adam Fariz sudah tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk menamatkan kebencian gadis itu padanya. Dia cuma boleh berharap agar takdir yang ditentukan TUHAN untuknya dapat membantu untuk melembutkan hati Balkish. Sebagaimana takdir yang ditentukan itu telah membuatkannya dipertemukan lebih dekat dengan Balkish.
“BAIKLAH semua! Cikgu ada berita baik untuk kamu.”
Kedengaran suara Cikgu Maznah selaku guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu mengisi segenap ruang kelas 5 UKM pada waktu itu.
“Berita apa, cikgu?” kedengaran suara seorang pelajar mencelah.
“Cikgu rasa kamu sudah sedia maklum bahawa sekolah kita akan mengelolakan Pertandingan Teater Komsas Peringkat Daerah April nanti. Justeru, satu ujibakat akan diadakan untuk memilih pelakon-pelakon teater yang akan mewakili sekolah kita untuk bertanding dengan sekolah-sekolah lain di daerah ini. Jadi, cikgu harap kamu boleh mengikuti ujibakat yang akan dijalankan. Inilah masa untuk tonjolkan bakat kamu. Faham semua?”
“Faham, cikgu!” begitu bersemangat pelajar-pelajar kelas 5 UKM memberikan jawapan.
Walaupun pada waktu itu Cikgu Maznah sedang berbicara dengan panjang lebar mengalahkan ucapan bajet 2010 Perdana Menteri, Adam Fariz tidak langsung menunjukkan sebarang minat terhadap ucapan gurunya itu.
Apa yang menjadi perhatian utamanya sekarang ialah Balkish.
“Fariz, kau ni aku tengok, sejak menyakat Balkish kau asyik pandang muka dia aja. Kau dah syok ke kat dia tu?” Radhi yang merupakan kawan baik Adam Fariz menegur lelaki itu dengan nada suara yang sangat perlahan sebaik sahaja perasan yang Adam Fariz memerhatikan Balkish.
Adam Fariz tersenyum dan setelah itu membalas, “Nanti lah aku cerita kat kau.”
Radhi masih lagi melihat wajah kawannya itu yang masih tidak putus senyumannya.
Entah-entah kawan aku ni memang sah dah syok dengan Balkish! Hari-hari senyum sendiri. Angau lah tu!
“Saya sendiri akan menjadi jurulatih bagi wakil sekolah kita untuk pertandingan itu nanti dan drama yang telah saya pilih untuk dipentaskan ialah ‘Puteri Li Po’. Jadi, sesiapa yang berminat untuk menyertai ujibakat tersebut boleh berjumpa dengan saya di bilik guru nanti.”
Sebaik sahaja Cikgu Maznah menghabiskan ayatnya, loceng terus berbunyi. Menandakan waktu pulang bagi pelajar-pelajar sidang pagi.
“Bangun semua!” kedengaran suara ketua kelas memberikan arahan.
“Terima kasih, cikgu.”
Dengan serentak semua pelajar mengucapkan terima kasih dan beransur-ansur keluar dari kelas tersebut setelah membacakan Surah Al-Asr.
“Sara, kita ikut ujibakat, nak tak?” Balkish mengajak Mysara untuk mengikuti ujibakat yang dimaklumkan oleh Cikgu Maznah sebentar tadi.
“Muka kita ni, kau rasa boleh berlakon ke?” Mysara cuba mengusik Balkish.
“Hei, tengok muka lah che kak! Jomlah pergi. Mesti best nanti! Kita ikut ek?” Balkish cuba memujuk sahabatnya.
“Hmm... kalau macam tu, okay lah! Nak jumpa Cikgu Maznah sekarang ke ni?” Mysara sudah memberikan persetujuan.
“Jom kita tengok kat bilik guru.”
Gadis berdua itu mengatur langkah ke bilik guru.
Tanpa mereka sedari, ada dua pasang kaki lain yang turut mengekori mereka.
“Adam, kita pergi ikut Mysara dengan Balkish ni buat apa?” Radhi menyoal Adam Fariz.
“Kau ikut je lah dulu. Nanti kau tahulah.”
Kedua-dua lelaki itu masih mengekori Mysara dan Balkish.
“Eh, dia orang pergi jumpa Cikgu Maznah lah, weh. Kau rasa dia orang nak ikut ke ujibakat teater komsas tu?”
“Aku rasa macam tu lah.”
Adam Fariz membalas agakan rakannya itu.
Tiba-tiba satu idea muncul di benak Adam Fariz!
Kalau aku terus kejar dia ke sana ke mari, memang susah nak bercakap dengan Balkish. Tapi... kalau aku ikut teater ni, mesti dapat habiskan banyak masa dengan dia. Yes! Aku mesti ikut ujibakat ni dan mesti terpilih walau apa pun yang terjadi!
Adam Fariz menanamkan tekad bulat dalam hatinya. Mengajak Radhi berlalu setelah itu kerana takut Balkish dan Mysara akan melihat mereka berdua pula.

Saturday, October 9, 2010

8


Saat itu, dia hanya mampu menundukkan wajah yang tidak tahu hendak diletakkannya di mana nanti bila berita buruk mengenai dirinya tersebar. Berita yang hanya disebabkan oleh salah faham semata-mata!
“Balkish, jawab soalan cikgu. Fariz cuba nak apa tadi?” Cikgu Saidah memusatkan semula perhatiannya kepada Balkish.
“Tadi masa cikgu pergi pondok sebelah, Fariz... err...dia... dia...” Balkish masih tergagap-gagap.
Ha, teruskan. Kenapa tergagap-gagap ni?”
Err... tak ada cikgu. Sebenarnya, masa cikgu kat pondok sebelah tadi, Fariz ni cuba nak berdiri. Saya kata dengan dia, dia tak boleh berdiri dulu sebab kaki dia kan kejang, tangan dia pun cedera.”
Balkish tampil dengan bohong sunatnya.
Adam Fariz tiba-tiba mengangkat kepalanya. Matanya terkebil-kebil. Tidak percaya yang Balkish menyembunyikan hal sebenar daripada pengetahuan Cikgu Saidah.
“Habis tu, kalau Fariz ni nak berdiri, kenapa kamu terjerit-jerit tadi? Macam ada orang nak meraba kamu pulak!” Cikgu Saidah mengerutkan keningnya. Pelik dengan kelakuan Balkish.
Heh, Cikgu macam tahu-tahu aje. Dia nampak ke apa yang jadi tadi? Ish, takkanlah...
Hati Balkish berbisik sendirian.
“Oh, yang itu... saya menjerit sebab nak minta tolong dengan Cikgu. Fariz ni, berkeras jugak nak bangun sangat. Saya mana larat nak bangunkan dia sorang-sorang. Jadi saya pun teriak lah panggil Cikgu sebab saya takut kalau saya tak pekik kuat-kuat nanti Cikgu tak dengar. Kan padang ni bising, Cikgu.”
Adam Fariz yang masih duduk hanya ternganga mendengar pengakuan palsu Balkish.
Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba-Mu ini. Sudah banyak kali aku bohong sunat hari ni. Aku tak berniat untuk menipu, tapi, aku terpaksa, aku terpaksa! Ni semua budak bertuah tu punya pasal lah! Celaka kau, Fariz!
“Betul ni, Balkish?” Cikgu Saidah bertanya lagi. Seakan-akan curiga dengan muridnya itu.
“Betul Cikgu. Tak percaya, cuba Cikgu tanya Fariz ni hah. Kesian dia, tak dapat terima hakikat dia tak dapat habiskan larian. Tu pasal dia nak bangun Cikgu.”
Balkish buat-buat muka sedih.
Cis! Kesian? Sampai bila-bila pun aku takkan pernah kesiankan makhluk tuhan paling gatal tu! Tapi sebab nak nampak real punya pasal depan Cikgu Saidah, hmm... layan je lah!
Cikgu Saidah yang berwajah serius memandang tepat ke arah Adam Fariz.
“Fariz, betul ke apa yang Balkish cakap tu?”
“Ya... betul lah tu Cikgu. Balkish cuba nak tolong saya aje tadi. Oh, ya! Tadi Cikgu dengar kan saya teriak yang ‘tidaaaak, tidaaaak aku bukan pe...’ terus terpotong kat situ. Sebenarnya saya nak cakap ‘aku bukan pelari yang berjaya’. Saya dah hampakan semua orang. Apa nak jadi dengan saya ni... kawan-kawan semua mesti kecewa dengan saya.”
Giliran Adam Fariz pula mempersembahkan lakonan teaternya di hadapan Cikgu Saidah. Dia pura-pura mengurut kepalanya seolah-olah dia mengalami migrain yang paling dahsyat.
Dia sempat mengerling ke arah Balkish yang menunjukkan muka menyampah pada waktu itu.
Cikgu Saidah mula menunjukkan rasa simpati.
Yes! Berjaya lakonan aku!
“Tak apa lah, Fariz. Agaknya, tahun ni bukan rezeki kamu untuk menang. Terimalah dengan redha.”
Tenang saja bicara Cikgu Saidah.
“Ya... saya faham Cikgu... saya faham...” masih saja Adam Fariz meneruskan lakonannya. Berbicara dengan nada yang melankolik.
Ceh! Meluat aku tengok! Minta simpati dengan Cikgu Saidah konon! Memang serupa dengan ikan sepat tercabut insang!
“Kalau begitu kamu rehatlah dulu, Fariz. Jangan paksa diri kamu tu bangun. Nanti makin teruk pulak keadaan kamu.”
Nasihat Cikgu Saidah.
Lagi teruk kan ke lagi bagus!
Sempat lagi Balkish menyumpah-seranah Adam Fariz dalam hatinya.
Cikgu Saidah bergerak semula ke pondok sebelah. Belum habis menguruskan murid-murid pengsan tadi. Balkish mengikuti jejak gurunya itu.
“Balkish!” panggil Adam.
Muka Balkish kembali bengis melihatnya. “Hah, kau nak apa lagi?”
“Terima kasih sebab tak bagi tahu Cikgu Saidah pasal tadi tu.”
“Tak payah nak terima kasih. Kalau aku laporkan, nanti heboh satu sekolah, nama aku pun ikut kena highlight sama. Sudahlah! Letih aku menghadap muka kau!” Balkish mula mengatur langkah, berlalu dari situ.
“Eh, Balkish kejap! Tunggu dulu!” Adam Fariz masih sempat menahan gadis itu.
“Hish, apa lagi ni?” Balkish menunjukkan muka bosan.
“Boleh minta nombor telefon tak? Alamat e-mel awak ada tak? He...he... senang sikit saya nak contact awak nanti.”
Hai, si sewel ni! Dah aku tolong dia tak bagi tahu Cikgu Saidah pasal hal tadi, ada hati lagi nak ngorat aku! Tahu lah aku ni cantik! Ahh! Lelaki gatal tu, biar je lah!
Soalan spontan daripada Adam Fariz itu membuatkan Balkish terus berlalu dari situ tanpa pamitan bersama muka yang bengis.
Adam Fariz masih lagi tersenyum walaupun Balkish sudah jauh meninggalkannya. Hatinya tiba-tiba dikunjungi musim bunga dari negara Jepun bila mengingatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan Balkish sebentar tadi.
Sejak hari itu, bermula lah hikayat Adam Fariz ‘menyakat’ Balkish di SMK Datuk Panglima Abdullah. Sejak hari itu juga lah, kebencian gadis itu terhadap Adam Fariz semakin bertambah secara rasminya!
DENTUMAN guruh di langit menyedarkan Adam Fariz daripada lamunannya tentang Balkish.
Aik! Bila pulak hujan turun nih? Aku termenungkan Balkish sampai tak sedar hujan kat luar tu dah turun bertan-tan! Apa nak jadi dengan aku?
Adam Fariz tersenyum sendirian. Menggaru kepalanya yang tidak gatal. Begitu jauh fikirannya terarah kepada gadis itu.
Ini sudah jadi kes berat!
Nyatanya, peristiwa di pondok kecemasan itu memang masih melekat di ingatannya.
Mungkin, kerana peristiwa itu jugalah Balkish membencinya sehingga kini, fikirnya.
Dah tiba masanya aku tamatkan kebencian Balkish pada aku. Ya! Aku mesti jumpa Balkish esok!
Eh, memang jumpa pun! Dia kan classmate aku...
Kalau difikir, salah aku jugak dia marah-marah macam tu. Dah lah aku buat dek pasal insiden pondok kecemasan tu, sekarang aku sakat dia pulak!
Tapi... aku tak faham...
Dulu... semua perempuan aku sakat jugak. Sakat lebih-lebih lagi! Tapi... bila depan Balkish pulak...
Aku memamglah sakat dia tapi tak sama macam aku sakat orang masa dulu. Dengan Balkish ni... aku rasa aku lebih sakat secara bersopan. Cukuplah sakat sikit-sikit asal tak kempunan nak tengok muka dia yang marah gila kat aku!
Hai... bahagianya bila dapat tengok muka cute Balkish kalau marah. Rasa macam Gurun Sahara pun tiba-tiba bertukar jadi Gunung Everest! Eh, contoh yang sesuai ke tu? Ahh! Tak kisah lah! Aku belum pernah rasa macam ni kat mana-mana perempuan pun. Termasuk yang aku sakat dulu. Cuma Balkish seorang saja yang... Aduhai...
Kenapa setiap kali bila aku nampak Balkish, jantung aku terus dup, dap, dup, dap! Ni... mata jahat aku ni...tak nak lepas dari terus tengok dia. Kaki aku pulak, macam nak jalan terus terpacak kat depan dia. Mulut aku, ringan sangat nak sebut ‘sayang’... he...he..
Terus dia teringatkan gelagat Balkish dan kemarahannya yang meletus bagaikan gunung berapi bila perkataan ‘sayang’ itu disuarakan.
Nanti dulu... aku dah...
Aku dah suka dengan Balkish ke?
Atau maha berat lagi, aku dah jatuh cinta pada Balkish?
Aku... jatuh... cinta?
Adam Fariz tersenyum lagi. Memang sah sudah mabuk kepayang!
Senyumannya terbantut mendengarkan ketukan pada pintu biliknya.
Pintu itu kemudiannya dibuka perlahan-lahan. Kelihatan Datin Arniza memasuki ruang biliknya sambil tersenyum.
“Eh, mama. Kenapa tak tidur lagi?” Adam Fariz menyapa mamanya.
“Mama masuk tengok Fariz sekejap. Kan dah lewat malam ni. Fariz tak mengantuk lagi?” soal ibunya.
“Hmm... dah mengantuk jugak ni, mama. Fariz nak off lap top dulu, lepas tu Fariz tidur,” terang Adam Fariz.
“Yalah kalau macam tu...”
Datin Arniza memerhatikan ada sesuatu yang berlainan pada Fariz. Anaknya itu tersenyum sendirian.
“Mama tengok Fariz ni gembira semacam aja. Ada apa-apa yang Fariz nak kongsi dengan mama ke?” naluri keibuannya menggamit perasaan ingin tahu terhadap reaksi anak terunanya itu.
“Erm, tak ada apa-apa lah, mama.”
Adam Fariz cuba berselindung. Namun, senyumannya tetap tak terbendung.
Datin Arniza turut tersenyum.
Is this about a special person?
Tanpa ragu-ragu, pertanyaan itu diajukan.
“Eh, tak ada lah! Ke situ pulak, mama.”
Alamak! Mama pun tahu jugak ke?
Datin Arniza menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih lagi tersenyum.
“Kalau ya pun termenungkan girlfriend kamu, tengoklah jam tu dah pukul berapa. Jam 11.30 dah pun.”
Semakin meleret senyuman Datin Arniza mengenangkan anaknya yang langsung tidak tahu menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuannya.
Mama ni...
“Dah lah, pergi tidur. Esok nak pergi sekolah, nanti lambat pulak.”
Okay, mama!”
Adam Fariz mencium tangan mamanya yang kemudian berlalu keluar.
Perlahan dia menutup komputer ribanya dan berlalu ke katil.
Selimutnya ditarik dan lampu dipadamkan.
Dalam kegelapan itu, dia berdoa agar dapat menemui Balkish dalam mimpinya.
Balkish Batrisya yang menyapanya dengan suara lembut.
Datang bersama wajah yang ayu seindah namanya, mengenakan baju kebaya anggun dengan lilitan selendang sutera di kepala bagaikan perempuan Melayu terakhir...
Bukannya Balkish yang garang mengalahkan Hitler! Membawa senapang gajah yang diacukan tepat ke hadapan mukanya! Adui...
Selamat malam Balkish sayang... mimpikanlah aku...
Matanya tertutup rapat. Tetapi hatinya tetap berbunga mengingatkan Balkish.
Baru sahaja dia hampir terlena, tiba-tiba kedengaran pintu biliknya dibuka semula.
Datin Arniza muncul semula di sebalik pintu itu.
Adam Fariz bangun dari tempat pembaringannya.
Ada apa, mama?”
Datin Arniza memandang wajah anaknya. Teragak-agak menjawab pertanyaan Adam Fariz.
“Fariz...” Datin Arniza tidak meneruskan kata-katanya.
Adam Fariz hanya melihat dengan penuh tanda tanya.
Ada hal yang mama nak cakap sikit dengan kamu.”
Pendek Datin Arniza berkata-kata. Mengatur langkahnya menuju katil dan duduk bersebelahan anak terunanya.
Penting sangat ke hal ni sampai mama nak bagitahu malam ni jugak? Tadi mama jugak yang beriya-iya suruh aku tidur. Hmm...
Datin Arniza menarik nafas panjang. Menatap wajah anaknya yang kelihatan keliru itu menyebabkan dia bersuara kemudiannya.
“Begini, sebenarnya...”
Adam Fariz mendengar dengan tekun.

Monday, August 23, 2010

7


Pukul 10.02 p.m.
Adam Fariz masih tegak menghadap komputer riba jenama Acer di hadapannya walaupun malam sudah begitu lama melabuhkan tirai.
Bukan komputer riba itu yang dijadikan tumpuan. Adam Fariz lebih kepada melayan perasaannya sendiri. Secawan Nescafe di atas mejanya itu masih tidak diteguk walau sedikit pun. Sendirian, dia termenung.
Wajah Sharifah Balkish Batrisya masih tidak dapat dilenyapkan dari ingatannya hingga kini.
Dia sendiri tidak tahu mengapa setiap kali berhadapan dengan gadis itu, mulutnya secara automatik pasti akan mengeluarkan kata-kata romantis! Matanya pula tidak akan lepas daripada terus memandang wajah gadis comel itu.
Adam Fariz masih teringat akan peristiwa tengah hari tadi. Peristiwa di mana mulutnya tiba-tiba mengatakan “aku suka sangat bila tengok kau marah” di hadapan Balkish secara tidak sengaja. Tidak cukup dengan itu, dikatakannya Balkish comel pula!
Biasanya setiap kali dia berhadapan dengan gadis-gadis di sekolah, kata-kata romantis dan pujian memang sengaja dilemparkan. Kasanova lah katakan!
Tapi itu dulu... sebelum dia merasakan sesuatu yang aneh terhadap gadis bernama Balkish.
Sekarang, cuma Balkish seorang saja yang dikejarnya ke sana dan ke mari.
Semuanya bermula sewaktu Karnival Sukan Tahunan sekolahnya diadakan pada awal tahun ini.
Adam Fariz merupakan salah seorang daripada atlet untuk acara larian 400 meter. Balkish pula bertugas sebagai salah seorang anggota Unit Kecemasan waktu itu.
“PERHATIAN kepada semua peserta yang terlibat untuk acara larian 400 meter kategori lelaki menengah atas, anda diminta untuk bergerak ke posisi masing-masing kerana acara akan dimulakan sekarang.”
Mendengar pengumuman yang disampaikan oleh guru bertugas melalui pembesar suara, Adam Fariz segera mengambil posisinya di tengah padang.
Kedengaran begitu riuh suasana padang sekolah yang diisi dengan laungan semangat para penyokong setiap rumah sukan.
Sebaik sahaja siren dibunyikan, semua atlet memecut pada laluan sepanjang 400 meter.
Adam Fariz kini mendahului pelari yang lain. Macam pelesit!
Tidak dinafikan bahawa Adam Fariz hampir sempurna dari setiap segi.
Rupa parasnya kacak, tergolong dalam pelajar cemerlang sekolah, dan merupakan antara atlet kegemaran guru penasihat rumah sukannya, rumah sukan Tun Teja. Sudah tiga tahun berturut-turut lelaki itu menggondol pingat emas dalam acara sukan yang disertainya.
Namun, entah kenapa... hari itu tiba-tiba satu kemalangan telah berlaku. Tidak diketahui puncanya.
Satu kemalangan yang seakan-akan telah dirancang oleh takdir hidupnya untuk mempertemukan dan mendekatkannya dengan seseorang...
Sedang Adam Fariz menderaskan lagi langkahnya, tiba-tiba kakinya terasa kejang! Pandangannya pula mula kabur.
Saat itu juga dia jatuh tertiarap di padang itu!
Lengannya tercedera akibat tergeser kuat dengan permukaan tanah semasa jatuh.
Anggota Unit Kecemasan pantas bertindak membawa Adam Fariz ke salah sebuah pondok kecemasan.
“Tepi! Tepi semua! Jangan berkerumun di sini!” marah Cikgu Saidah yang bertugas di pondok kecemasan apabila melihat ramai murid yang mengelilingi Adam Fariz.
Balkish yang berada di pondok kecemasan itu juga tidak ketinggalan melihat Adam Fariz.
Tenang guru itu memeriksa luka yang dialami muridnya.
Tiba-tiba...
“Cikgu, ada dua orang lagi murid yang pengsan di pondok sebelah!” seorang murid datang menyergah.
“Aik, budak lelaki pun pengsan jugak! Hairan aku! Hah, yalah kejap lagi aku, err... Cikgu akan ke sana bersama Cikgu Rosli.”
Cikgu Saidah mula kelihatan bingung.
Kenapa tahun ni banyak pulak pengunjung pondok kecemasan? Hei, budak-budak ni! Tak kuasa aku...
Cikgu Saidah mengomel dalam hati.
Dia melihat sekeliling dan terpandang Balkish Batrisya yang tercegat di satu sudut.
“Ha, Balkish! Awak tolong uruskan Fariz sekejap. Cikgu nak ke sebelah.”
Guru itu mengatur langkah ke arah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari pondok kecemasan. Cikgu Saidah membisikkan sesuatu kepada lelaki itu. Tidak beberapa lama kemudian, lelaki itu memegang tangan Cikgu Saidah dan bergerak bersamanya ke arah pondok yang satu lagi. Balkish hanya memerhati Cikgu Saidah dari pondok kecemasan. Tersenyum kecil.
Pegang-pegang pun, Cikgu Rosli tu laki dia jugak! He... he...
Senyuman gadis itu terhenti apabila mengingatkan arahan gurunya sebentar tadi. Spontan saja Cikgu Saidah memberi arahan kepada Balkish untuk merawat Fariz.
Kenapa aku pulak yang kena rawat dia? Ish! Tak ada hati aku nak tolong mamat perasan tu! Simpang malaikat empat puluh empat! Lagi bagus dia dok baring terlentang kat situ! Biar padan muka! Tu kena hukum karma lah tu! Siapa suruh nak menggatal sangat dengan semua perempuan kat sekolah! Hah, tanggung lah balasan kau kat situ!
Sesungguhnya, Balkish memang menyampah sekali dengan makhluk yang bernama Adam Fariz itu!
Dia begitu geram dengan perangai lelaki itu yang suka menggatal tak kira di mana jua! Dua tahun dia sekelas dengan lelaki itu dan rasanya memang itulah sifat semulajadinya. Menggatal! Kalau boleh, dia tidak ingin punya sebarang kaitan dengan Adam Fariz. Walaupun lelaki itu adalah rakan sekelasnya.
Apalagi mahu merawatnya!
Namun, disebabkan cuma dia seorang saja anggota unit kecemasan di pondok kecemasan ketika itu, terpaksalah dari lubuk hatinya yang paling dalam dia mengatakan,
“Fariz, mari aku tengok tangan kau yang cedera tu.”
Hanya TUHAN saja yang tahu betapa dia ingin melarikan diri daripada Adam Fariz waktu itu.
Adam Fariz membalas senyuman Balkish lalu menghulurkan tangannya yang tercedera.
Dengan hati yang maha berat bak ditindih dengan 44 buah kontena yang sarat dengan besi buruk, Balkish mengambil alih tugas gurunya untuk merawat Adam Fariz.
Masam wajahnya mengalahkan mangga mentah! Sesiapa yang menatap mukanya pasti boleh mengagak bahawa dia sedang mempamerkan muka ‘aku tak rela dengan semua ini’!
Pipinya pula sudah merah menahan rasa tidak puas hati terhadap arahan spontan gurunya tadi.
Perlahan dia membersihkan luka di tangan Adam Fariz. Tanpa kerelaannya!
Saat itu, Adam Fariz hanya duduk diam. Melunjurkan kakinya.
Diam menyaksikan setiap gerak-geri yang dilakukan oleh Balkish. Dia tidak tahu bahawa Balkish memang menyampah melihat mukanya!
Tiba-tiba, bagaikan ada bisikan halus yang menyambar otak Adam Fariz, menyuruhnya untuk melihat dengan lebih jelas gadis yang berada begitu dekat dengannya ketika itu.
Dua tahun dia bersama Balkish. Sekelas dengannya. Baru sekarang dia berpeluang untuk menyaksikan wajah gadis itu dengan lebih dekat.
Tanpa disedari Balkish yang sibuk merawat luka musuh ketat tidak langsungnya itu, Adam Fariz sudah jauh termenung memerhatikannya.
Baru sekarang aku perasan... Balkish ni cantik jugak rupanya...
Hmm... kulitnya putih gebu...
Mak aii! Mata dia... cantiknya... hitam pekat...
Pipi dia...he...he... comel! Sekali pandang macam warna pink!
Hidung dia pulak... boleh tahan!
Kening dia cantik tersusun... dia cukur ke?
Hmm... bibir tu...
Eh, apa aku buat ni?
Astaghfirullahalazim! Astaghfirullahalazim! Ya Allah! Aku dah berdosa ya Allah! Hish! Jahatnya mata aku nih!
Tanpa disedari Adam Fariz, kalimat istighfar itu sudah terkeluar sampai ke mulutnya!
“Astaghfirullahalazim! Astaghfirullahalazim!”
“Fariz, kenapa kau ni? Tiba-tiba je terus istighfar.”
Balkish menjadi hairan.
Heh... terkeluar sampai ke mulut rupanya... malunya aku! Macam mana aku boleh tak sedar? Ni sebab kau lah Balkish...
“Tak ada apa-apa. He... he... dah habis ke awak balut tangan saya?”
Adam Fariz cuba mengalih perhatian Balkish terhadap perlakuannya tadi.
“Sikit lagi... hmm... hah, dah siap!”
“Terima kasih, Balkish.”
“Sama-sama.”
Ucapan Balkish itu diselangi dengan muka monyoknya.
Macamlah aku nak sangat tolong kau! Kalau tak sebab Cikgu Saidah yang suruh, aku peduli apa kalau tangan kau patah sampai boleh pusing tiga ratus enam puluh darjah pun! Gasaklah kau kat situ!
“Kaki kau kejang lagi ke? Aku dah letak ubat tadi.”
Balkish menyambung perbualan. Perbualan yang tersangat mahu dielakkannya!
Okay sikit kut!”
Adam Fariz menjawab. Diperhatikannya Balkish sekali lagi yang mengenakan uniform lengkap Persatuan Bulan Sabit Merah itu. Comel! Mengapa baru sekarang dia perasan? Itupun selepas dua tahun duduk bersama dalam satu kelas dengan Balkish.
Adakah ini bermakna, bukan setakat mata, tetapi hatinya juga telah dibukakan untuk melihat Balkish?
Balkish mula dilihatnya dari atas... dan perlahan-perlahan... ke bawah...
Adam Fariz tersenyum kecil.
Balkish yang tiba-tiba terpandang perlakuan Adam Fariz yang memandangnya pada...
“Aaaarrgghhh!”
Terus Balkish terjerit.
BUK!
Sebiji penumbuk melayang ke mata kanan Adam Fariz. Senang baginya untuk menumbuk Adam Fariz yang masih duduk itu. Kalau lelaki itu berdiri, memang payah juga dia menzahirkan nawaitu nya itu.
“Aduh, sakitnya! Kenapa dengan awak ni?”
Adam Fariz menyapu perlahan matanya yang mendapat cenderahati percuma daripada Balkish.
“Kau ni memang! Dah sakit-sakit pun, sempat lagi nak menggatal! Tu pun kau nak pandang! GATAL!”
“Apa yang saya pandang?”
“Nak tanya aku lagi? Nah, ambik kau!”
Sebiji lagi penumbuk melayang ke mata kiri lelaki itu!
“Aduuh!”
Balkish merasa puas setelah kedua-dua penumbuknya mendarat di muka kasanova itu. Bagaikan berasap-asap kepalanya seperti steamboat mengenangkan perlakuan Adam Fariz.
Belum sempat dia meninggalkan Adam Fariz, lelaki itu sudah terlebih dulu memaut lengannya.
“Balkish! Tunggu dulu! Awak dah salah faham! Saya cuma tengok name tag dengan lencana awak je tadi!”
Adam Fariz memberi penjelasan kepada Balkish, tapi dengan nada suara yang sederhana. Takut kalau-kalau ada pula orang lain yang mendengar ayatnya itu. Nanti orang turut tersalah faham!
“Hey, apa pegang-pegang ni, hah? Kau ingat aku percaya cakap lelaki gatal macam kau?”
Saat itu juga Balkish menjerit sekuat hati.
“Tolong! Tolong! Cikgu, tolong saya! Tolooong!”
Cikgu Saidah yang berada di pondok sebelah bergegas ke pondok di mana Balkish dan Adam Fariz berada setelah mendengar jeritan gadis itu.
Adam Fariz sempat meleraikan pautannya pada tangan Balkish sebelum Cikgu Saidah sampai di situ.
“Balkish! Balkish! Ada apa nih? Kenapa awak menjerit?” pantas saja guru itu bertanya.
“Cikgu, ni hah! Fariz nih! Tadi dia cuba nak...” kata-katanya yang kedengaran cemas itu terhenti.
Nak bagi tahu ke tak yang Fariz pegang tangan aku? Kalau benda ni tersebar satu sekolah, macam mana? Adui, bagi tahu ke tak ni? Entah-entah esok satu sekolah heboh, LAPORAN SUKAN: SHARIFAH BALKISH BATRISYA DIPEGANG ATLET MIANG! Tak ke aku jugak yang malu?
“Balkish, kenapa? Fariz cuba nak apa?” Cikgu Saidah bertanya lagi setelah kata-kata muridnya itu terhenti tadi.
Adam Fariz pula tidak putus melihat Balkish. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa agar Balkish tidak melaporkan hal yang berlaku sebentar tadi.
Kalau Balkish lapor kat cikgu, habislah aku! Satu sekolah mesti heboh, ADAM FARIZ LELAKI PERABA! Silap-silap jadi headline majalah sekolah tahun ni! Malu aku nanti! Macho pun hilang, yang tinggal nanti hanyalah ‘hancho’. Eh, tapi tadi aku bukan raba dia, aku pegang tangan je, tu pun sebab nak tahan dia. Balkish ni pun satu, memang betul lah aku tengok name tag dia tadi. Dia ingat aku pandang apa? Tak faham aku perempuan yang satu ni.
Memang betul.
Adam Fariz memang hanya memerhatikan tanda nama Balkish tadi. Entah apa pula yang difikirkan gadis itu sampai dia menghadiahkan dua biji penumbuk kepada Adam Fariz.
Dia dapat membayangkan Balkish menunjuk-nunjuk tepat ke arah mukanya sambil berkata, LELAKI GATAL! LELAKI GATAL!
Tiba-tiba satu suara halus kedengaran di telinga Adam Fariz.
Ohh! Tak raba ya...habis yang kau renung Balkish tadi lama-lama tu? Itu pun meraba juga namanya. Tapi, Adam Fariz... kau lebih dahsyat dan sememangnya dahsyat! Seburuk-buruk peraba ialah yang meraba menggunakan tangan, tapi kau pula meraba menggunakan mata! Senyap-senyap lagi! Kau perhati Balkish lama-lama dan kau renung dia tanpa kerelaannya... Kau sepuluh kali ganda lebih teruk Adam Fariz! Kau peraba! Kau memang lelaki peraba! Adam Fariz, kau perabaaaaa!
Adam Fariz memegang kepalanya dan berteriak,
“Tidaaak! Tidaaaak! Aku bukan pe...”
“Heh, Fariz! Kamu ni pula kenapa? Tadi Balkish yang terjerit-jerit, sekarang kamu pulak! Apa halnya ni?” teriakan Adam Fariz sempat dipotong oleh dialog Cikgu Saidah. Guru itu sudah menjadi semakin bingung melayan kerenah anak-anak muridnya.
Ada juga baiknya Adam Fariz tidak menghabiskan perkataan terakhir itu...

6

Pukul 9.30 p.m.
“Kesian juga saya tengok Balkish tadi, bang. Risau pula saya tengok dia sedih.”
Sharifah Shamsiah bersuara sambil melihat suaminya yang masih tekun membaca dokumen-dokumen penting syarikat di meja kerjanya. Perlahan-lahan Sharifah Shamsiah melabuhkan punggung di katil setelah itu.
Menunjukkan riak kerisauan pada mukanya.
Bilik tidur Syed Adam dan Sharifah Shamsiah masih lagi terang-benderang. Kebiasaannya, lampu hanya tertutup pada pukul 10.30 malam. Itu pun setelah Syed Adam puas meneliti semua dokumen penting syarikatnya.
“Bang, dengar tak apa saya cakap tadi?”
Sharifah Shamsiah menegur suaminya buat kali kedua setelah menyedari bahawa suaminya tetap membisu sambil pandangannya masih utuh melihat dokumen-dokumen tadi.
Syed Adam menutup semua dokumen tersebut. Dia kemudiannya berlalu ke katil dan duduk bersebelahan dengan isterinya.
“Saya dengar apa awak cakap tadi. Awak janganlah terlalu risau sangat dengan Balkish.”
Syed Adam cuba menenteramkan hati isterinya.
“Tapi saya rasa tak sedap hati pula kalau terus tengok dia buat muka monyok macam tu. Bukan abang tak tahu, setiap kali kita sebut pasal Syed Firdaus, macam tu lah jadinya!” Sharifah Shamsiah tetap menzahirkan kerisauannya. Berfikir tentang anak daranya itu membuatkan satu keluhan panjang lahir dari bibirnya.
“Shamsiah, kita berdua kan memang tahu, dari dulu lagi Balkish memang macam tu. Ni bukan kali pertama dia tak senang pasal hal pertunangan ni. Dah lah, awak tak payah risau ya...”
Cukup tenang Syed Adam berbicara.
Namun, bicara Syed Adam masih tidak dapat mengawal kerisauan Sharifah Shamsiah. Isterinya itu hanya diam membisu.
“Abang rasa, patut tak kita beritahu Balkish hal yang sebenar?” tiba-tiba Sharifah Shamsiah bersuara semula.
“Ish, awak ni. Kita kan dah berjanji dengan Along takkan beritahu Balkish perkara yang sebenar sampailah tiba masa yang sesuai.”
Ayat Sharifah Shamsiah sebentar tadi menyebabkan Syed Adam mengerutkan keningnya.
“Tapi, sampai bila kita nak sembunyikan hal yang sebenar daripada Balkish, bang? Sekarang Balkish tu ingat yang kita ni nak paksa dia bertunang dengan Syed Firdaus. Karang budak tu lari dari rumah, macam mana?” tukas Sharifah Shamsiah.
“Astaghfirullahalazim! Awak ni Shamsiah, sampai ke situ pulak!”
Syed Adam sedikit terkejut mendengar luahan isterinya. Menyambung ayatnya setelah itu.
“Takkan awak tak kenal anak kita tu. Selama ni, ada dia buat sesuatu yang menyusahkan kita?” Syed Adam bertanya lembut.
Sharifah Shamsiah menggeleng. Tanda jawapan bagi soalan suaminya.
“Pernah dia sakitkan hati kita?” Syed Adam bertanya lagi.
Jawapan Sharifah Shamsiah masih lagi sama.
“Habis tu, apa yang buatkan awak terfikir yang Balkish tu nak lari dari rumah hanya disebabkan hal pertunangannya dengan Syed Firdaus?”
Sharifah Shamsiah hanya membisu. Tersedar bahawa fikirannya sudah terlalu jauh menyimpang. Mujur ada suaminya yang mengingatkan.
Perlahan Sharifah Shamsiah menyapa suaminya,
“Habis tu, sekarang ni apa yang kita kena buat, bang?”
“Kita serahkan semuanya pada Allah s.w.t. Tiba masanya, saya sendiri yang akan beritahu Balkish perkara yang sebenar.”
Syed Adam berkata sambil memegang bahu isterinya.
Sharifah Shamsiah mula mengukir senyum. Hatinya sudah lega sedikit mendengar bicara Syed Adam.
“Kalau macam tu, saya nak keluar sekejap. Tengok Balkish dekat bilik dia. Entah-entah masih merajuk lagi tu.”
“Hmm... awak pergi lah tengok dia,” Syed Adam memberikan keizinan.
Sharifah Shamsiah bangun lalu berjalan keluar dari bilik mereka.
Tiba di hadapan bilik tidur puterinya, pintu itu diketuk.
“Balkish... Balkish...”
Suaranya lembut memanggil Balkish. Tiada sebarang jawapan.
Merajuk lagi lah ni agaknya...
Pintu bilik itu dikuaknya.
Lampu masih lagi terpasang. Namun, sebaik sahaja dia mengalihkan pandangan ke katil, dilihatnya Balkish sudah pun melelapkan mata, lena dibuai mimpi. Dia menghampiri Balkish dengan senyap. Takut kalau gadis itu terjaga nantinya.
Lama dia memerhatikan wajah polos anak gadisnya itu. Dalam ketenangan suasana, dia sangat bersyukur kepada TUHAN kerana telah mengurniakan cahaya mata yang cukup membahagiakan dirinya dan suami. Begitu lama pasangan itu menantikan seorang cahaya mata sebelumnya. Akhirnya, setelah lima tahun hidup bersama, dianugerahkan juga sebutir permata untuk keluarganya itu.
Sejak kelahiran Balkish lah, keluarga Syed Adam semakin harmoni. Walaupun hanya gadis itu yang merupakan satu-satunya waris Syed Adam, mereka benar-benar berterima kasih kepada Sang Pencipta. Tidak pernah mengharapkan lebih daripada itu.
Kalau dipanjangkan umur, ingin sekali dia melihat Balkish berada di jinjang pelamin, bersanding bahagia bersama pasangannya sebagaimana yang pernah dilaluinya bersama Syed Adam dulu. Ingin sekali juga dia menyandang gelaran nenek kepada cahaya mata Balkish pula.
Mudah-mudahan saja kesempatan masih ada untuknya.
Tersedar daripada melayan fikirannya, rambut Balkish diusap-usap. Sharifah Shamsiah berbisik perlahan.
“Maafkan mama, sayang. Mama masih belum dapat menerangkan hal yang sebenar sekarang. Satu hari nanti, Balkish akan tahu juga. Selamat malam, puteriku. Semoga dibuai mimpi yang indah.”
Setelah itu, dia mengucup dahi Balkish dengan penuh kasih dan berlalu pergi.

Monday, August 16, 2010

5

Pukul 2.07 p.m.
Balkish menghempaskan diri pada tilam empuk miliknya. Melihat siling. Mendengus kecil.
Hatinya masih sakit memikirkan perlakuan Adam Fariz yang sudah melebihi batas kesabarannya!
Lelaki gatal itu perlu diajar! Aku tak boleh biarkan dia terus kacau aku!
Tapi persoalannya... beranikah aku?
Balkish mengalihkan pandangan ke arah koleksi DVD anime yang dipunyainya. Gadis itu sangat suka mengumpul anime bersiri dari negara Jepun. Boleh dikatakan hampir semua anime yang pernah dipaparkan di skrin televisyen sudah menetap di rak DVD anime nya. Macam-macam ada!
Naruto, Vampire Night, Mobile Suit Gundam Seed Destiny, Colourcloud Palace, Alice Academy, dan anime yang paling diminatinya antara semua anime, Special A Class!
Mengingatkan anime Special A Class yang menceritakan kisah hampir sama seperti yang berlaku antara dirinya dengan Adam Fariz sekarang membuatkan bulu roma pada tengkuknya meremang! Seperti ada Maya Karin di belakangnya! Yii...
Dipendekkan cerita, Special A Class menceritakan kisah tujuh pelajar terbaik sebuah sekolah swasta. Antaranya ialah Takishima Kei sebagai hero dan Hanazono Hikari sebagai heroin. Pada mulanya, Hikari sangat meluat dengan Kei sebagaimana Balkish meluat dengan Adam Fariz. Namun, lama-kelamaan Hikari akhirnya jatuh cinta terhadap Kei. Adakah Balkish juga bakal mempunyai perasaan yang sama?
Balkish kembali melayan bicara hatinya.
Macam mana kalau satu hari nanti apa yang Mysara cakap tadi jadi kenyataan? Macam mana kalau memang betul aku akan terlanjur suka Fariz sebagaimana Hikari jatuh cinta dengan Kei dalam ‘Special A Class’ tu kalau terus biarkan dia kacau aku? Macam mana kalau aku betul-betul suka dia sama macam semua perempuan yang dia pernah sakat tu?
Hatinya tidak berhenti berteka-teki.
Huh! Tak mungkin! NO WAY!!! NEVER EVER!!
Tu kan cerita kartun, mana boleh samakan dengan hidup aku...
Hmmm...
Ya Allah, mengapa lah jalan hidupku perlu dipertemukan dengan seorang kasanova?
Kenapa tahap kesabaranku perlu diuji dengan perangai mamat perasan tu? Adoi, rasa seksa pulak kalau macam ni terus!
Puas melayan hati yang berbicara, Balkish mencapai tuala biru kepunyaannya dan berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.
Setelah itu, segera dia menunaikan solat Zohor yang tidak dapat dikerjakan lebih awal kerana perjumpaan pengawas di sekolah tadi.
MALAM itu, Datuk Syed Adam beserta keluarganya sudah duduk di meja makan menikmati hidangan makan malam yang disediakan.
“Papa ada hal nak bincang dengan Isya.”
Pendek Syed Adam menegur Balkish Batrisya.
“Apa dia papa?”
“Tadi Mak Long kamu telefon. Dia bertanyakan kamu. ”
Tiba-tiba air muka Balkish yang sebelumnya semanis madu bertukar menjadi gula-gula Sour Plus yang akan terus masam sampai bila-bila!
Ni mesti nak mula buka cerita pasal topik aku paling pantang.
Ada hal penting ke, papa?”
“Erm, Mak Long sempat berbincang dengan papa dan mama.”
Syed Adam meneguk segelas air. Kemudian menyambung lagi.
“Tentang kamu dengan Syed Firdaus.”
Muka Balkish sudah tidak ubah seperti tempoyak basi!
“Pa, boleh tak kalau kita bincang benda ni lain kali? Kan Isya dah kata, Isya tak nak bertunang lagi. Isya kan masih belajar, pa.”
Gadis itu meluahkan rasa tidak puas hatinya. Namun, suaranya masih tetap bernada lembut.
“Isya, mama dengan papa bukan nak tunangkan kamu dengan Syed Firdaus sekarang, tapi lepas kamu habis exam nanti.”
Tenang Sharifah Shamsiah berbicara.
Banyak-banyak topik yang dibicarakan, topik pertunangan inilah yang sangat tidak digemari anak gadisnya. Sejak akhir-akhir ini, Syed Adam dan Sharifah Shamsiah begitu kerap membangkitkan hal pertunangan Balkish dengan Syed Firdaus. Balkish sendiri juga tidak pasti apa sebabnya.
Walaupun diam seribu bahasa, otak gadis itu tetap ligat berfikir. Dengan lingkungan usianya yang masih muda itu, takkanlah dia hendak menyandang title tunang orang! Hancur berderai sahamnya nanti!
Musnah segala impiannya untuk merasai sendiri kisah-kisah cinta yang dibaca dalam novel sebelum ini!
“Mama, Isya tak nak bertunang awal-awal ni. Bagi tahu je lah Mak Long dengan Pak Long tu, kalau nak sangat tengok Firdaus bertunang, tunangkanlah dengan orang lain. Kenapa pulak nak melarat-larat ditunangkan dengan Isya? Banyak kali dah Isya kata, Isya tak nak, papa.”
“Balkish!”
Pengakuan berani mati Balkish itu nampaknya sudah menaikkan kemarahan papanya!
Balkish yang tersedar bahawa dia sudah bertindak kurang sopan di hadapan orang tuanya itu segera menundukkan mukanya.
“Isya minta maaf, papa, mama, Isya tak ada niat nak melawan cakap papa dengan mama.”
Tetap tunduk. Tidak berani mengangkat mukanya menentang Syed Adam dan Sharifah Shamsiah. Sungguh, tidak terniat dia untuk meninggikan suara.
Balkish berkali-kali beristighfar dalam hati kerana perbuatannya itu.
Perkara yang paling menakutkan dalam hidup baginya ialah menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapa. Tidak hidu bau syurga kalau jadi anak derhaka! Apalagi menjejakinya.
Dia boleh bersifat kasar terhadap mana-mana orang yang menyakiti hatinya tetapi tidak sekali-kali ibu bapanya. Walaupun mereka mungkin akan memaksanya berkahwin terus dengan Syed Firdaus, bukan setakat bertunang.
“Sayang, mama dan papa faham perasaan Isya. Kami tak paksa kamu berdua bertunang sekarang, kan? Cuma apa salahnya kalau Isya cuba rapat dengan Syed Firdaus lagi sama macam dulu? Ambil masa untuk berfikir. Kami takkan paksa Isya bertunang dengan dia kalau Isya tak nak tapi cuma satu saja yang mama minta, ambillah peluang sekali lagi untuk kenal dia dengan lebih dekat. Ya sayang?”
Sharifah Shamsiah berbicara dengan lembut. Tidak akan selesai masalah itu dengan kekerasan.
Dia tahu, Balkish juga tidak berniat untuk meninggikan suara kerana selama ini, belum pernah anak daranya itu melakukan sesuatu perkara yang boleh menyakitkan hati suaminya dan dirinya sendiri. Apalagi melawan cakap mereka!
Memang benar Balkish dibesarkan dalam suasana yang mewah. Namun, ibu bapanya tetap tidak lupa untuk menerapkan asas pengetahuan agama untuk panduan hidup anak gadis mereka yang satu itu. Kerana itulah, betapa manjanya pun Balkish Batrisya terhadap kedua orang tuanya, batas kesopanan tetap dijaga. Cuma kadang-kadang barannya agak sukar dikawal apabila sampai kepada tajuk perbincangan PERTUNANGAN!
Balkish hanya diam. Tidak memberikan sebarang respon. Dalam hati dia berasa lega mamanya berbicara demikian. Itu bermakna, orang tuanya masih belum mencapai tahap ingin memaksa dirinya untuk bertunang dengan Syed Firdaus.
SELEPAS makan malam, Balkish terus masuk ke biliknya.
Masih dirundung rasa bersalah terhadap Syed Adam dan Sharifah Shamsiah walaupun mereka telah memaafkan perbuatannya tadi.
Ni semua Syed Firdaus punya pasal...
Berbaring di atas katil, Balkish melihat siling lagi. Memikirkan kesudahan ceritera pertunangannya dengan Syed Firdaus. Sepupunya itu!
Agaknya siling juga sudah jemu melihat muka cemberutnya.
Walaupun Syed Firdaus adalah sepupunya, namun sudah lama dia tidak melihat wajah yang ingin ditunangkan dengannya itu.
Sejak kecil lagi, Syed Firdaus sudah dihantar belajar ke luar negara oleh Mak Long dan Pak Long. Tinggal bersama Mak Su dan Pak Su nya yang sudah bermastautin di Melbourne, Australia.
Seingatnya, kali terakhir dia bertemu dengan Syed Firdaus, sepuluh tahun yang lalu. Semasa dia dan Syed Firdaus berumur tujuh tahun.
Setelah itu, tidak pernah langsung dia menghadap muka Syed Firdaus.
Agaknya dia dah jadi orang putih kat sana. Entah-entah aku pun dia tak ingat lagi. Syed Firdaus, macam manalah agaknya rupa kau sekarang? Makin handsome atau...he...he...
Bila difikir-fikir, perlukah aku terus berbohong dengan perasaan aku sendiri? Depan mama dan papa kata tak suka! Tak mahu! Tak nak! Tapi dalam hati...
Tiba-tiba wajah Syed Firdaus yang dikenalinya dulu mendatangi mindanya.
Aah! Tak boleh! Tak boleh!
Kalau aku bertunang dengan dia, mesti confirm kahwin! Yii... tak nak lah aku kahwin dengan sepupu-sepapat! Lagipun, kan ke tak berapa afdhal kalau berkahwin dengan saudara dekat ni...
Dulu semasa kecil, memang dia begitu rapat dengan Syed Firdaus. Seperti yang dikatakan mamanya. Asal bermain mesti bersama.
Namun, sekarang tidak lagi.
Walau bagaimanapun, setiap perkara yang pernah dilakukannya bersama lelaki itu suatu ketika dahulu masih utuh dalam ingatannya. Termasuklah satu perkara.
Perasaannya terhadap lelaki itu!
Terkejut?
Ya. Syed Firdaus lah cinta pertamanya.
Cinta seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang melarat hingga kini! Persoalannya, bolehkah seorang kanak-kanak merasakan cinta?
Mungkin semuanya disebabkan Syed Firdaus saja satu-satunya lelaki yang dikenalinya semasa kecil. Tidak termasuk papa dan pakcik-pakciknya.
Namun, bolehkah perasaan yang dialaminya semasa berusia tujuh tahun itu dikatakan cinta? Budak-budak bukannya tahu apa-apa pun.
Lebih-lebih lagi pasal cinta!
Tapi kalau bukan cinta, apa yang menyebabkan Balkish tidak pernah melupakan wajah si kecil Syed Firdaus yang berusia tujuh tahun pada saat lelaki itu pergi meninggalkannya?
Apa yang menyebabkan Balkish merinduinya sehingga kini? Itupun dalam diam...
Memang Syed Firdaus pernah mencuri perhatiannya. Namun, itu bukanlah satu alasan yang boleh dijadikan greenlight oleh papa dan mamanya untuk menjadikan Syed Firdaus sebagai tunangnya.
Lagi pula, Syed Adam dan Sharifah Shamsiah bukannya tahu pun perasaan anak tunggal mereka terhadap Syed Firdaus.
Mungkin dah sampai masanya untuk aku lupakan apa yang aku rasa. Tapi... patutkah aku lupakan dia?
Balkish Batrisya menggenggam jari. Masih melayan bicara hatinya.
Sudah lama rasanya dia cuba melupakan rayuan hati untuk kembali menemui Syed Firdaus. Sejak dia dan keluarganya berpindah dari Kuala Lumpur ke Sabah iaitu dua tahun selepas dia mula memasuki sekolah rendah, ingatan terhadap Syed Firdaus cuba dihapuskan. Namun, hasilnya tetap gagal.
Waktu itu, kegelisahan menyelubungi perasaannya buat seketika.
Dalam kesepian dan kedinginan malam yang menggila, tiba-tiba wajah Adam Fariz menerjah otaknya! Kedinginan yang dirasai bertukar panas - sekadar melambangkan betapa panasnya hati Balkish Batrisya terhadap lelaki kurang siuman itu!
Geram tahap gaban menguasai dirinya semula.
Ah, daripada aku melayan sakit hati yang macam bara api ni sebab dia, baik aku buka buku!
Balkish bergerak ke meja belajarnya dan mula mengulang kaji subjek Matematik Tambahan yang dipelajarinya di sekolah tadi.
Sudah menjadi rutin seharian bagi dirinya untuk belajar pada waktu petang dan malam sebelum tidur.
Walaupun hidupnya kini diselubungi pelbagai ragam masalah, namun Balkish tidak akan membenarkan hal sebegitu merosakkan rekod akademiknya sebagai pelajar cemerlang sekolah.
SELESAI mengulang kaji pelajaran, Balkish menuju ke katil. Bersiap-sedia untuk melelapkan mata.
Mengimbas kembali masalah-masalah yang berlaku pada dirinya hari ini mengingatkannya kepada Mysara.
Baik aku bersembang dengan Mysara! Boleh jugak mengadu kat dia. Sekurang-kurangnya, ringan sikit kepala aku.
Balkish mengambil telefon bimbit Sony Ericsson model W710i di atas meja. Jarinya ligat menekan nombor pada telefon bimbit itu.
“Assalamualaikum.”
Suara Mysara kedengaran di hujung talian.
“Waalaikumsalam. Kau dah mengantuk ke?” Balkish memulakan perbualan.
“Belum lagi. Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena?”
“Semuanya tak kena! Sakit otak aku ni nak fikirkan semua benda.”
Balkish teringat akan keinginan papa dan mamanya untuk menunangkannya dengan Syed Firdaus. Kepalanya semakin berserabut apabila memorinya digasak pula dengan peristiwa yang melibatkan Adam Fariz tengah hari tadi.
“Pasal Fariz ke? Arini Mysara cuba mengagak.
“Ikan sepat tu memang sah-sah dah jadi masalah besar dalam hidup aku, tapi sekarang aku nak cerita tentang hal yang lagi penting. Pasal pertunangan aku dengan sepupu aku kat oversea tu.”
Mereka berdua menyepi seketika di hujung talian.
“Hmm... pasal hal pertunangan tu aku nak tanya sikit. Papa dengan mama kau paksa ke kau bertunang dengan err... siapa nama tunang kau tu?”
“Syed Firdaus. Bukan tunang lah, bakal tunang.”
“Hah, ya lah dia tu...”
Mysara mula menunjukkan minat terhadap topik yang mereka bincangkan pada waktu itu.
Parents aku tak paksa tapi mereka memang nak sangat aku bertunang dengan Syed Firdaus. Mentang-mentang lah kita orang kenal sejak kecil lagi.”
“Kau suka dia?”
“Suka siapa?”
“Bakal tunang kau tu.”
Aik! Mysara ni macam tahu-tahu je...
“Aku tak tahu. Tapi aku rasa aku suka. Eh, kejap! Kejap! Aku rasa aku tak suka dia lah!”
Mysara tergelak mendengar pengakuan sahabatnya. Pengakuan yang lahir daripada sekeping hati yang penuh kesangsian.
“Cara kau bercakap macamlah tunang kau tu kuih-muih kat bazaar Ramadhan. Boleh pilih suka ke tak suka.”
“Excuse me! Bakal tunang okay!
“Oops! Lupa pulak aku...he...he... err... macam ni lah. Apa kau rasa bila kau tengok muka dia? Maksud aku... kau gementar tak bila berdepan dengan dia?”
“Hmm... yang itu, aku susah sikit nak jawab. Sebab dah lama aku tak nampak muka dia. Tak silap kira... lebih kurang sepuluh tahun aku tak jumpa dia. Sejak dia belajar kat Melbourne...”
“Kau rasa kau ada apa-apa perasaan ke untuk dia?”
“Sejak dia bertolak ke luar negara, itulah kali terakhir aku nampak dia. Tapi yang peliknya, aku masih tak dapat lupakan wajah dia. Wajah Syed Firdaus yang comel tu.”
Arini Mysara mendengar dengan teliti pengakuan sahabatnya.
Balkish menyambung.
“Jujur, setiap masa dalam hidup aku tak pernah lepas daripada berfikir tentang dia walaupun aku sendiri tak pasti yang dia masih ingatkan aku di sini atau dah tak ingat pun. Tapi aku tak kisah. Aku rasa rindu aku terubat bila cuba fikir pasal dia.”
Balkish mula teringat akan kenangan manis bersama Syed Firdaus. Tidak dapat dipastikan sama ada dia masih bercakap dengan Mysara atau melayan perasaannya sendiri.
“Rindu? Isya, kau sebut rindu ke tadi?”
Balkish tersentak mendengarkan suara Mysara yang agak kuat, terkejut mendengar perkataan yang terkeluar dari mulut Balkish.
“Hah, aku sebut apa tadi?” Balkish terkial-kial.
“Kau sebut rindulah.”
“Tak! Aku tak sebut pun! Kau salah dengar kut!” Balkish cuba mengelak.
“Balkish, line handphone aku ni full bar, kau tahu? Takkan aku salah dengar.
“Aku sebut rindu tadi?”
“Yalah.”
“Rindu?”
“Ya! Kau ni, balik-balik tanya aku soalan yang sama je. Hah, tu lah dia! Simptom awal penyakit angau!”
Talian menyepi seketika. Setelah itu, kedengaran Balkish mula mengatur bicara.
“Kau rasa aku suka Syed Firdaus ke?”
“Aku rasa positif. He...he... tapi kalau betul kau suka dia, kenapa kau tak nak bertunang dengan dia pulak?”
Mysara bingung memikirkan cara pemikiran sahabatnya itu berfungsi.
Ada banyak sebab, tapi sebab paling utama ialah, aku tak nak tahap IQ anak aku rendah nanti.”
“Err...kau cakap apa ni Isya?” Mysara terpinga-pinga mendengar ucapan Balkish. Kurang faham dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Balkish.
“Kau tahu tak, menurut kajian yang dijalankan oleh para saintis, seseorang yang berkahwin dengan saudara mara terdekat contohnya sepupu, anak yang dilahirkan nanti akan rendah tahap IQ!”
“Hish! Kau ni!”
“Kau ingat aku main-main ke?”
“Balkish...Balkish... sebab tu je kau nak sembunyikan perasaan kau sendiri? Dengar sini ek, tak semestinya kalau kau kahwin dengan sepupu, terus dapat anak IQ rendah! Tu semua kuasa Allah! Silap-silap anak kau jadi genius pulak nanti, siapa tahu kan?”
Balkish pula yang diam mendengar penerangan Mysara.
“Sebab tu lah, kita sebagai hambaNya perlu sentiasa beribadat dan berdoa kepadaNya agar dikurniakan dengan segala kebaikan dan dijauhkan daripada segala keburukan. Faham tak?”
“Faham. Faham.”
Balkish diam sebentar. Cuba memproses kebenaran kata-kata Arini Mysara sebentar tadi. Suaranya kedengaran kembali di talian.
“Hmm... terima kasih ya Sara. Terima kasih banyak sebab jadi pendengar setia aku walaupun aku ganggu kau malam-malam buta ni. Terima kasih jugak atas nasihat-nasihat bernas kau tadi tu ek! Kalau kau tak ada, tak tahulah aku nak mengadu kat siapa...”
Mysara tergelak mendengarkan pujian Balkish. Bersuara setelah itu.
“Kau tak boleh bergantung sangat dengan aku ni. Kalau aku tak ada nanti, kau pulak yang seksa! He...he...”
Mereka sama-sama tergelak. Usai mengucapkan selamat malam, Balkish memutuskan talian. Dia cuba melelapkan mata. Namun, sekali lagi fikiran gadis itu membawanya kembali ke alam pertanyaan.
Aku betul-betul suka ke dengan Syed Firdaus? Aku rasa... Aku memang suka dia...
Walaupun mata Balkish tertutup rapat, namun masih terukir senyuman kecil di bibirnya.
Datanglah dalam mimpiku... temuilah aku... Syed Firdaus...

Wednesday, July 7, 2010

4

Adam Fariz memandang Balkish Batrisya.
Belum sempat lelaki itu berkata sepatah apa pun, waktu itu juga Balkish angkat kaki dari kawasan kantin dan bergegas menuju ke Bilik Disiplin. Sempat lagi Balkish meninggalkan pesan,
“AKU LAPOR NANTI DENGAN CIKGU AFDLIN!!!”
Mendengar nama Cikgu Afdlin, tiba-tiba Adam Fariz rasa lain macam. Terus dia terkejar-kejar mendapatkan Balkish.
Adam Fariz sempat menahan langkahnya semasa di koridor. Sebenarnya, dia tidak kisah pun dengan ugutan Balkish walaupun mendengar nama Cikgu Afdlin agak menyeramkan. Dia tahu Balkish seorang gadis yang low profile. Seboleh-bolehnya semua masalah sekolah mahu diselesaikan sendiri tanpa melibatkan guru. Apalagi hal-hal peribadi begini! Tapi sebaik sahaja dia memandang wajah Balkish yang sudah merah itu, akhirnya dia mengalah.
Okay, okay, janganlah terus nak report kat cikgu. Sebenarnya, saya cuma nak berkawan dengan awak je. Dah dua tahun kita sekelas, awak tak pernah pun nak tegur saya. Salah ke saya kalau nak berkawan dengan awak?”
Macam mana aku nak tegur kau kalau kau sibuk sangat melayan perempuan lain dengan perangai gatal kau tu!
“Siapa kata salah, ada aku cakap? Tak ada kan? Tapi yang kau nak kacau aku, siap panggil sayang-sayang lagi apa pasal? Tu bukan nak berkawan, tapi nak kena tempeleng!”
Balkish membentak. Kemarahannya terhadap Adam Fariz masih belum reda.
“Kalau macam tu, saya minta maaf. Saya tak ada niat nak sakitkan hati awak. Saya cuma nak bergurau je. Takkan tak boleh?”
“Bergurau tu jangan lebih-lebih. Ada ke patut nak kacau aku macam tu.”
“Sebab aku suka sangat bila tengok kau marah. Kau tahu tak pipi kau macam pakai blusher kalau tengah marah? Cute!
Balkish tersentak.
Mamat ni apa hal? Kejap panggil sayang, kejap guna bahasa saya awak, sekarang guna bahasa kau aku pulak! Kena sampuk agaknya!
Kata aku cute pulak tu...
Tapi aku memang cute pun! Wakaka!
Eh! Eh! Tak boleh senyum, jangan senyum! Control muka, Isya! Steady kan kemarahan tu...
Balkish berbisik dalam hati kecilnya. Setelah itu, membengiskan mukanya pula. Takut kalau Adam Fariz tahu bahawa dia senang mendapat pujian itu.
Alamak! Aku cakap apa ni? Hish, Fariz! Yang kau cakap macam tu apa pasal? Dah tau Balkish tu marah, yang kau sakat dia lagi tu buat apa? Bodohnya... Hii... mulut jahat! Mulut jahat!
Adam Fariz bermonolog di dalam hati, terus menampar mulutnya sendiri! Dia tidak sedar bila dia mengeluarkan ayat itu. Sungguh! Dia tidak bermaksud mengeluarkannya.
“Err... sorry... sorry... saya tak sengaja cakap tadi! Betul saya tak sengaja!”
Cemas betul dia memberi penjelasan pada Balkish.
“Yiii... SEWEL!”
Balkish memuntahkan kata-kata keramat itu tepat di hadapan Adam Fariz! Mempamerkan gaya ingin mencekik lelaki bertuah itu!
Adam Fariz terus tertunduk. Mengenangkan mulutnya yang celopar itu.
Sebaik sahaja dia mengangkat mukanya, dilihatnya gadis itu berjalan pantas menuju ke Bilik Disiplin.
Adam Fariz hanya menggelengkan kepalanya.
Melihat Balkish yang berjalan menuju ke Bilik Disiplin itu mengingatkannya akan sesuatu.
Alamak! Perjumpaan pengawas! Macam mana aku boleh lupa? Ni Balkish punya pasal lah ni.
Balkish...Balkish... bila agaknya hati kau akan lembut?
Pantas Adam Fariz mengatur langkah membuntuti Balkish ketika itu.
Balkish sempat menjeling ke arah Adam Fariz yang mengekorinya.
Menyampah aku! Sekali gatal, sampai bila-bila pun gatal jugak!
Desis hatinya.
SEBAIK sahaja mereka memasuki Bilik Badan Disiplin, semua pengawas sudah bersiap-sedia, menunggu kedatangan Ketua Guru Disiplin. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Afdlin!
Perjumpaan tergempar pengawas hari itu diisi dengan perbincangan mengenai Kem Kepimpinan Pengawas yang akan diadakan pada April nanti.
Masing-masing memberikan idea yang sesuai berkenaan kem kepimpinan tersebut.
“Cikgu rasa ada baiknya Kem Kepimpinan Pengawas kali ini kita adakan di luar kawasan sekolah. Apa pendapat kamu semua?” Cikgu Afdlin mula mengajukan soalan.
“Cikgu, apa kata kita adakan kem ni di Taman Bukit Tawau?”
Seorang pengawas memberikan cadangan.
“Hmm... Balkish, apa pendapat kamu?”
Aik! Kenapa pulak Cikgu Afdlin tiba-tiba tanya aku nih? Masak aku!
“Erm, saya rasa ada baiknya (macam ayat cikgu je tadi) kem kepimpinan ni diadakan di sana, Cikgu. Selain diberi penekanan terhadap nilai disiplin dan kepimpinan yang tinggi semasa kem kepimpinan tu berlangsung, peserta kem juga boleh mendekatkan diri dengan keindahan alam semulajadi. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat peserta untuk menghayati keindahan alam sekaligus dapat menggalakkan minda peserta untuk memikirkan kepentingan mengekalkan khazanah alam semulajadi.”
Begitu panjang lebar Balkish memberikan jawapan.
Hah, ambik! Kalah jawapan kertas Bahasa Melayu Semester Dua aku tahun lepas! Tapi...tak terlebih panjang ke ni?
Adam Fariz yang memerhati dari tadi tersenyum mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Balkish.
Hmm...dah lah cantik, pandai pulak bagi respon! Kan ke bagus kalau kepakaran dia bagi respon tu dia gunakan sikit untuk bagi respon yang POSITIF untuk aku. Ini tidak...
Hati Adam Fariz berbisik sendirian.
“Hmm... saya suka jawapan kamu tu, Balkish. Jawapan tu dapat melambangkan ciri-ciri kepimpinan dalam diri kamu. Bagus, Balkish! Bagus!”
Mahu kembang telinga Balkish mendengar pujian daripada Cikgu Afdlin.
Dia tidak tahu, bukan Cikgu Afdlin saja yang memujinya saat itu.
He...he... Bagus! Bagus! Kau memang bagus Balkish!
Ujar hati kecilnya. Bangga dengan pujian yang diberikan cikgu sebentar tadi. Lebih-lebih lagi di hadapan semua pengawas!
SETENGAH jam berlalu dan perjumpaan bagi semua pengawas sekolah telah pun selesai. Kata sepakat untuk mengadakan kem kepimpinan kali ini di kawasan alam semulajadi iaitu Taman Bukit Tawau telah dicapai dan dipersetujui oleh semua pihak.
Semuanya hasil jawapan bernas Balkish Batrisya yang membuatkan cadangan itu disokong.
Kebanyakan pengawas sudah bergerak keluar daripada Bilik Disiplin. Balkish juga sudah bersiap-sedia untuk pulang. Belum sempat dia menggalas begnya dengan betul, Adam Fariz terlebih dahulu menahannya.
“Balkish, tunggulah sekejap. Saya ada hal nak beritahu awak ni.” Adam Fariz cuba memujuk Balkish Batrisya yang tidak ‘mengesahkan’ kewujudannya di situ.
Balkish membalas dengan suara yang separuh berbisik. Takut didengari pula oleh Cikgu Afdlin. Cukuplah Cikgu Bob sahaja yang tiba-tiba enter frame dalam ‘peperangan’ mereka di kantin sebentar tadi.
“Aku dah tak ada urusan dengan kau, okay! Now leave me alone and don’t you ever dare to talk about pointless things to me again!
Ucapan Balkish hampir saja dibalas oleh Adam Fariz. Tapi terbatal hajatnya apabila melihat Cikgu Afdlin juga sudah keluar daripada Bilik Disiplin. Begitu hampir dengan kedudukan mereka berdua.
Hish! Cikgu Afdlin ni... ‘kacau daun’ betul lah!
Ingin mengelakkan kemarahan Balkish daripada semakin membara, dibiarkannya gadis itu pergi. Pergi melepasi dirinya.
Balkish pula tidak memedulikan Adam Fariz. Melangkah jauh dengan selamba dari situ. Dia tahu Adam Fariz tidak akan buka mulut lagi kerana Cikgu Afdlin masih berada berdekatan mereka.
Pertemuan mereka berdua hari ini berakhir setakat itu. Walaupun Adam Fariz sebenarnya mengharapkan jangka waktu pertemuan yang lebih daripada itu, itulah akhir pertemuan untuk mereka. Apa yang ingin diutarakannya hanyalah permohonan maaf atas kelakuannya sebentar tadi. Itu saja.
Tapi Balkish Batrisya tidak boleh disalahkan kalau dia buat dek dengan permohonan maaf Adam Fariz.
Apa tidaknya, sepuluh kali minta maaf, sepuluh kali juga dia menyakat Balkish semula. Bukan hanya sepuluh kali, rasanya sudah menjangkau dua puluh atau tiga puluh kali kesilapan yang sama diulang-ulang!
Aduhai Adam Fariz!